Liputan Ultra5G U Mobile Kini Mencapai Kira-Kira 2.3 Juta Penduduk Di Sabah
Amy Maizuraa
U Mobile memaklumkan liputan rangkaian Ultra5G di Sabah kini meliputi kira-kira 2.3 juta penduduk. Pencapaian itu disokong menerusi kerjasama dengan CTS Horizon yang membekalkan infrastruktur fiber bagi menyokong perluasan rangkaian 5G U Mobile di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut U Mobile, perluasan liputan tersebut merangkumi beberapa kawasan utama termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Papar dan Keningau. Ketika ini, lebih 545 tapak rangkaian di seluruh Sabah telah dinaik taraf dengan sokongan infrastruktur fiber yang menyediakan kapasiti sehingga 10Gbps bagi setiap tapak.
Peningkatan tersebut merupakan lonjakan ketara berbanding kapasiti sekitar 1Gbps yang lazim digunakan untuk rangkaian 4G sebelum ini. Pada masa yang sama, infrastruktur baharu itu turut diperkukuh bagi mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan serta memastikan tahap kebolehpercayaan rangkaian yang lebih tinggi.

Selain kawasan luar, rangkaian ULTRA5G U Mobile turut tersedia di beberapa lokasi tumpuan seperti Wisma Merdeka, Imago Mall dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. U Mobile berkata perluasan liputan berkenaan dijangka menyokong aktiviti perdagangan, pelancongan dan perusahaan di samping memperluaskan akses kepada rangkaian berkelajuan tinggi di seluruh Sabah.