Redmi M100 Pro Dilancarkan Dengan Cip Dimensity 7300-Ultra Dan Tri-Kamera Utama
Amy Maizuraa
Redmi M100 Pro kini rasmi di China sebagai telefon pintar kelas pertengahan yang menawarkan spesifikasi menarik dalam segmennya. Peranti ini hadir dengan skrin AMOLED melengkung bersaiz 6.67″ yang menyokong kadar segar semula 120Hz serta dilindungi kaca Gorilla Glass Victus 2. Pengimbas cap jari yang terbina di bawah skrin turut disediakan.

Tunjang utama Redmi M100 Pro dijana oleh cip MediaTek Dimensity 7300-Ultra yang dipadankan dengan bateri berkapasiti 5,500mAh serta sokongan pengecasan pantas berwayar 45W. Selain itu, peranti ini turut menawarkan penarafan kalis air dan debu IP68, sokongan NFC, pemancar inframerah (IR Blaster) serta menjalankan sistem operasi HyperOS 3.

Redmi M100 Pro juga dilengkapi sistem tri-kamera belakang yang terdiri daripada kamera utama 50MP Sony LYT-600, ultra lebar 8MP dan makro 2MP. Untuk swafoto, ia hadir dengan kamera hadapan 20MP. Jika spesifikasi yang ditawarkan kelihatan biasa, perkara ini disebabkan Redmi M100 Pro dipercayai merupakan model penjenamaan semula Redmi Note 14 Pro 5G yang ditawarkan di pasaran global.
Sumber: REDMI M100 Pro