Huawei Watch 6 Dan Watch 6 Pro Kini Di Malaysia – Harga Bermula RM1799
Amy Maizuraa
Huawei kini membawa dua jam tangan pintar baharunya ke pasaran Malaysia menerusi Huawei Watch 6 dan Huawei Watch 6 Pro. Kedua-duanya hadir sebagai pengganti kepada generasi terdahulu dengan beberapa penambahbaikan dari segi reka bentuk, ciri kesihatan dan pengalaman penggunaan harian.

Huawei Watch 6 Pro ditawarkan dalam dua varian kemasan iaitu Space Edition dan Ceramic Edition. Space Edition menggunakan binaan aloi titanium gred aeroangkasa dengan kaca nilam serta hadir dalam saiz 46mm. Ceramic Edition pula hadir dalam saiz 43mm dengan kemasan seramik nano. Kedua-dua model dilengkapi skrin LTPO 2.0 AMOLED beresolusi 466 × 466 piksel dan mampu mencapai tahap kecerahan sehingga 3,500 nits.

Antara ciri utama yang ditawarkan ialah Health Glance yang membolehkan pengguna mendapatkan ringkasan data kesihatan dalam tempoh kira-kira seminit. Ciri ini menghimpunkan sehingga 13 metrik kesihatan dalam satu laporan yang boleh diakses terus melalui jam tangan. Ia turut mempunyai ciri pemantauan risiko hipertensi dan diabetes, di samping analisis tahap kecergasan serta cadangan kesihatan berdasarkan aktiviti harian pengguna. Penawaran ini mencerminkan fokus Huawei dalam menyediakan pemantauan kesihatan yang lebih menyeluruh.


Jam tangan ini turut menyokong pelbagai mod sukan terbina termasuk golf, ski, berbasikal, aktiviti menyelam dan mod Expedition untuk aktiviti luar. Ia juga menyokong sambungan eSIM yang membolehkan pengguna membuat panggilan, menerima notifikasi serta mengakses beberapa fungsi penting tanpa perlu bergantung pada telefon pintar. Selain itu, Watch 6 Pro hadir dengan penarafan kalis air 5 ATM/IP69 serta menyokong aktiviti selaman bebas pada kedalaman sehingga 40 meter. Dari segi ketahanan bateri, jam tangan ini mampu beroperasi sehingga 7 hari dengan sekali cas untuk penggunaan biasa.

Huawei Watch 6 juga hadir dalam dua pilihan saiz iaitu 42mm Gold dan 46mm Blue. Ia menggunakan skrin LTPO 2.0 AMOLED (466 × 466 piksel) dengan tahap kecerahan sehingga 3,000 nits. Turut dikekalkan ialah ciri Health Glance yang membolehkan pengguna mendapatkan ringkasan data kesihatan dalam masa sekitar seminit menerusi sensor X-TAP.


Selain itu, Watch 6 menyokong sambungan eSIM, kawalan berasaskan gestur, penggunaan bersama dua telefon serentak serta boleh digunakan dengan peranti Android dan iOS. Untuk penggunaan biasa, model 46mm mampu menawarkan hayat bateri sehingga 7 hari dengan sekali cas manakala model 42mm pula sehingga 5 hari.


Bagi yang berminat, Huawei Watch 6 Pro dijual pada harga RM1,799 manakala Huawei Watch 6 Pro pula ditawarkan pada harga RM2,699.

