Huawei FreeBuds SE 5 Max Sudah Boleh Dibeli Di Malaysia – Harga Bermula RM159
Amy Maizuraa
Huawei FreeBuds SE 5 Max mula dijual secara rasmi di Malaysia hari ini. Meskipun berada dalam segmen mampu milik, Huawei membawakan beberapa ciri yang lazimnya boleh ditemui pada model yang lebih premium.


Antara ciri utama yang ditawarkan ialah sokongan pembatalan hingar aktif (ANC) sehingga 52dB yang membantu mengurangkan gangguan bunyi persekitaran. Huawei turut melengkapkan fon telinga ini dengan sistem enam mikrofon bersama teknologi AI bagi meningkatkan kejelasan suara semasa panggilan, terutamanya dalam persekitaran yang bising. FreeBuds SE 5 Max juga menyokong Hi-Res Audio dan codec LDAC untuk pengalaman audio berkualiti tinggi pada peranti yang serasi.


Selain itu, Huawei mendakwa fon telinga ini mampu menawarkan masa penggunaan sehingga 80 jam bersama pod pengecas. Pengecasan selama 10 minit pula mampu memberikan sehingga empat jam masa pendengaran. Tidak ketinggalan, FreeBuds SE 5 Max turut dilengkapi penarafan IP55 yang menawarkan perlindungan asas terhadap habuk dan percikan air.

Bagi yang berminat, Huawei FreeBuds SE 5 Max boleh dibeli di Malaysia pada harga promosi serendah RM159 selepas rebat segera berbanding harga asal RM249.