Huawei Malaysia, Sunway University Bekerjasama Jalankan Kajian Risiko Hipertensi Melalui Siri Huawei Watch 6
Amy Maizuraa
Huawei dan Sunway University menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan berkaitan penggunaan peranti boleh pakai. Melaluinya, kedua-dua pihak akan melaksanakan kajian berhubung risiko hipertensi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menerusi kerjasama tersebut, satu kajian bertajuk Real-World Validation of HUAWEI Wearable Technologies for Hypertension Risk Screening in Malaysia turut dijalankan bagi menilai keupayaan ciri pengesanan risiko hipertensi pada jam tangan baharu siri Huawei Watch 6. Hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan antara faktor risiko utama bagi penyakit jantung, strok dan masalah kesihatan lain yang serius.


Kajian ini diketuai oleh Prof. Emeritus Datin Dr. Chia Yook Chin dan Dr. Say Yee How. Ia turut mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Etika Penyelidikan Universiti Sunway serta didaftarkan dalam pangkalan data rasmi ClinicalTrials.govselaras dengan keperluan etika dan piawaian penyelidikan yang ditetapkan.