PMX – Malaysia Kini Menjadi Sasaran Serangan Siber Global
Nazrin
Di sidang Parlimen hari ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa negara Malaysia kini telah menjadi salah satu sasaran serangan siber secara global.
Menurut beliau, butiran lanjut masih belum boleh didedahkan, tetapi telah mengatakan bahawa dengan pembangunan pusat data, dan bagaimana Malaysia kini menjadi salah satu suara paling lantang dalam isu berkenaan Palestin sekarang, negara kita telah menjadi sasaran kumpulan-kumpulan penggodam.

Semalam kami telah melaporkan bahawa dua daripada 10 pusat data paling berkuasa di dunia terletak di Malaysia. Dua pusat data ini ialah DayOne Nusajaya di tangga ke enam dan DayOne Kempas di tangga ke lapan.
Menjawab soalan MP Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkenaan keselamatan siber negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa beliau boleh meminta Ketua Pangarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin untuk memberi taklimat tertutup kepada semua ahli-ahli MP untuk membolehkan mereka mengetahui keadaan sebenar berkaitan lanskap ketersediaan dan keselamatan siber dan digital negara.
Kebelakangan ini kami juga telah melaporkan tentang banyak insiden godaman yang sedang berlaku di seluruh dunia, termasuklah insiden dimana syarikat penerbangan Malaysia Airlines juga telah terkesan dengan insiden tirisan data Amadeus.
Sumber: New Straits Times