GWM ORA 5 Hi2 HEV Pertama Dipasang Di Malaysia, Bakal Dilancarkan November Ini
Nur Amzari

GWM Malaysia mengumumkan bahawa unit pertama SUV hibrid kompak GWM ORA 5 Hi2 HEV telah selesai dipasang di kilang EP Manufacturing Bhd. (EPMB) di Melaka. Pencapaian ini merupakan satu lagi langkah menjelang pelancaran rasmi kenderaan tersebut di Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada November 2026.
GWM ORA 5 Hi2 HEV menggabungkan enjin turbo 1.5-liter bersama motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 223PS dan tork 476Nm. Ia dipadankan dengan transmisi 2-kelajuan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) bagi memberikan prestasi pemanduan yang lebih responsif.
Dari segi penggunaan bahan api, SUV ini mencatatkan kadar serendah 4.4 liter bagi setiap 100km, selain menawarkan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100km. Sistem hibrid ini juga tidak memerlukan pengecasan luaran.
Untuk pasaran Malaysia, tempahan GWM ORA 5 Hi2 HEV telah dibuka sejak 5 Oktober lalu dengan anggaran harga jualan di bawah RM115,000. Harga rasmi, spesifikasi penuh untuk pasaran tempatan serta manfaat pemilikan akan diumumkan ketika pelancaran rasminya nanti.