Netflix Perkenalkan ‘AI Discover’ Untuk Cadangan Kandungan Lebih Peribadi
Amy Maizuraa
Pernah buntu memilih apa yang mahu ditonton di Netflix? Bagi mengatasi dilema itu, Netflix kini memperkenalkan AI Discover sebagai ciri baharu yang membantu pengguna mencari kandungan berdasarkan minat, situasi dan apa yang ingin ditonton pada sesuatu masa.

Menerusi fungsi ini, pengguna boleh memilih tema berdasarkan mood, aktiviti atau masa yang ada. Sama ada ingin menonton sesuatu yang santai, filem seram, kandungan untuk seisi keluarga atau rancangan pendek, AI Discover akan mencadangkan pilihan yang sepadan dengan keperluan tersebut.
Selepas memilih tema, Netflix akan memaparkan senarai kandungan yang sepadan. Jika masih belum menemui rancangan atau filem yang ingin ditonton, pengguna boleh beralih kepada tema yang lebih khusus atau memilih pilihan “Something Different” untuk melihat lebih banyak cadangan.

Setiap judul turut dilengkapi dengan fungsi maklum balas yang membolehkan pengguna menyatakan sama ada sesuatu cadangan itu relevan atau sebaliknya. Menurut Netflix, AI Discover berfungsi sebagai platform ujian untuk mengkaji cara baharu membantu pengguna mencari kandungan.
AI Discover akan diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna Netflix berbahasa Inggeris di Amerika Syarikat menerusi TV yang disokong. Pengguna yang menerima akses boleh menemui tab Discover yang ditandakan dengan ikon permata merah pada menu navigasi utama aplikasi.
Sumber: Netflix