Honor Magic9 Pro Max Bakal Tiba Di Malaysia – Dipilih Sebagai Telefon Rasmi FFM35
Amy Maizuraa
Honor mengesahkan telefon mercu terbaharunya, Magic9 Pro Max bakal memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Menjelang pelancaran rasminya, peranti tersebut turut dipilih sebagai telefon rasmi Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) menerusi kerjasama antara Honor dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). FFM35 dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 21 November 2026.

Magic9 Pro Max hadir dengan sistem kamera yang dibangunkan bersama ARRI iaitu sebuah syarikat yang terkenal dengan teknologi kamera yang digunakan dalam pelbagai produksi filem dan televisyen global. Peranti ini turut diperkenalkan sempena ulang tahun ke-10 siri mercu Honor. Selain hadir dengan reka bentuk baharu, Honor memaklumkan bahawa model ini turut menawarkan beberapa penambahbaikan dari segi kamera, prestasi dan ketahanan bateri berbanding generasi terdahulu.

Honor masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi Magic9 Pro Max di Malaysia. Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai spesifikasi, harga dan ketersediaan peranti itu dijangka dikongsikan dalam masa terdekat. Setakat ini, Magic9 Pro Max hanya diperkenalkan untuk pasaran China terlebih dahulu.