20 Peratus Pengeluaran Pasaran PC Global Kini Dikuasakan Cip Pemprosesan Arm
Nazrin
Arm baru-baru ini telah membentangkan penyata kewangan untuk suku kedua tahun kewangan 2027 dimana mereka melaporkan pendapatan setinggi $1.44 bilion sepanjang suku tersebut, dipacu oleh pendapatan dari pelesenan teknologi, royalti yang diterima daripada rakan teknologi dan juga pengeluaran cip pemprosesan AGI mereka.
Mereka juga melaporkan bahawa 20 peratus bahagian pasaran global untuk komputer pengguna kini dikuasakan oleh cip pemprosesan Arm, samada melalui siri cip Qualcomm Snapdragon X yang sudah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu, ataupun platform cip pemprosesan NVIDIA DGX Spark dan NVIDIA RTX Spark Superchip.

Dengan pengenalan platform perkomputeran baharu seperti Googlebook dan komputer riba RTX Spark yang dikuasakan secara sebahagian oleh platform cip pemprosesan Arm, penggunaan teknologi kecerdasan buatan untuk tugasan harian seperti produktiviti pejabat, pembelajaran di sekolah, pembangunan teknologi dan sebagainya dijangka akan diperluaskan lagi, dimana ia kelak dijangka akan menandingi pasaran komputer yang dikuasakan cip x64 juga.

Untuk sektor peranti pintar pula, platform cip Arm CSS For Mobile 2 pula kini telah mula digunakan oleh beberapa rakan pengeluar peranti seperti OPPO dan Vivo untuk meningkatkan prestasi beban kerja AI agentik dalam peranti. Cip grafik Arm Mali G2-Ultra NX juga telah mula digunakan oleh Xiaomi didalam cip Xring O3, yang merupakan cip pemprosesan pertama keluaran mereka yang digunakan dalam peranti Xiaomi 18 Fold untuk menguasakan bahagian grafik peranti tersebut.
Dengan kemajuan teknologi cip yang diperkenalkan Arm, mereka menjangkakan bahawa mereka akan terus menjadi platform pemprosesan pilihan oleh pelbagai industri untuk beberapa tahun akan datang.
Sumber: Arm