Insta360 Buka Kedai Konsep Baharu Di Merdeka 118
Amy Maizuraa
Merdeka 118 Mall kini semakin rancak dengan kehadiran pelbagai jenama baharu. Dari gaya hidup hingga teknologi, semakin banyak nama besar memilih lokasi ini sebagai destinasi terbaharu mereka di Kuala Lumpur.

Terkini, Insta360 turut membuka kedai konsep baharunya di sini sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk mengenali jenama itu dengan lebih dekat. Pengunjung bukan sahaja boleh melihat rangkaian kamera dan aksesori yang dipamerkan malah berpeluang mencuba sendiri produk-produk tersebut sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Hadir dengan rekaan moden dan minimalis, kedai konsep ini menempatkan pelbagai produk Insta360 dalam susun atur yang kemas dan mesra pengunjung. Antara yang menjadi tumpuan ialah Antigravity A1 Follow Me Bundle yang diperkenalkan baru-baru ini. Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan, kakitangan yang bertugas juga sedia berkongsi maklumat serta membantu pengguna memilih produk yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.


Sempena pembukaan kedai baharu ini, Insta360 turut menawarkan beberapa promosi kepada pelanggan. Pembeli baharu atau sedia ada Motion Control Bundle boleh mendapatkan Follow Me Accessories Kit pada harga RM1,199 berbanding harga asal RM1,499, manakala Remote Controller ditawarkan pada harga RM299 berbanding RM379 sebelum ini. Bagi mereka yang ingin mendapatkan set lengkap, Antigravity A1 Follow Me Bundle dijual pada harga RM2,799 dan didatangkan bersama Watch Remote, Ring Remote serta pelbagai aksesori lain.



Dalam masa yang sama, Insta360 turut menganjurkan peraduan sempena pembukaan kedai ini dengan menawarkan barangan edisi terhad kepada lima pemenang bertuah. Kedai rasmi baharu Insta360 kini beroperasi di Lot L2-19, 118 Mall, Merdeka 118.