Pusat Data Awanan Microsoft SEA3 Baharu Akan Berkembang Menjadi Rantau Awanan Terbesar Microsoft Di Asia Tenggara
Aman
Minggu yang agak menarik untuk perkembangan pusat data dan perkomputeran awanan di Malaysia. Selepas Amazon dan Google yang mengumumkan pelaburan di Malaysia semalam, hari ini Microsoft turut mengumumkan perkongsian lanjut berkenaan penawaran awanan seterusnya di Johor Bahru, dinamakan Southeast Asia 3 (SEA3), yang kelak aan berkembang menjadi penawaran awanan terbesar Microsoft di rantau Asia Tenggara.

Untuk makluman, pembukaan pusat data awanan ini telah dikongsikan oleh Microsoft secara rasminya pada tahun lepas. SEA3 akan berpusat di Johor Bahru, dan menjadi rantau awanan kedua Microsoft di Malaysia, selepas Malaysia West yang berpusat di Kuala Lumpur. SEA3 juga akan hadir dengan infrastruktur mesra dan tersedia untuk AI, serta privasi tahap tinggi.

Microsoft mengatakan, sebagai sebahagian daripada komitmen Microsoft dalam meningkatkan kemampanan operasi, SEA3 akan menggunakan sistem penyejukan berasaskan litar tertutup dan penyejuk udara yang tidak melibatkan penyejatan air dalam proses penyejukan. Hali ini sekali gus mengurangkan sedikit kebergantungan terhadap sumber air. Sementara itu, penjana tambahan pula akan direka untuk beroperasi menggunakan bahan api lestari, bagi mengurangkan pelepasan karbon. Pusat data Microsoft ini juga akan dibina untuk mencapai sekurang-kurangnya pensijilan LEED Gold.
Buat masa ini, jumlah pelaburan dan bila SEA3 akan beroperasi secara rasminya tidak dinyatakan lagi.