Aplikasi Khusus TikTok Shop Diperkenalkan – Memudahkan Fokus Jualan Edagang
ByteDance kini telah memperkenalkan aplikasi khusus untuk TikTok Shop, sekaligus memudahkan lagi fokus terhadap jualan edagang, tanpa perlu melalui pelbagai kandungan yang ditawarkan melalui aplikasi TikTok utama.

Aplikasi TikTok Shop ini sudah tersedia di Android dan iPhone untuk pengguna Malaysia. Apabila membukanya, ia hadir dalam bentuk paparan seumpama perkhidmatan edagang, memperlihatkan promosi dan produk yang mungkin anda berminat untuk beli. Setiap produk juga hadir dengan halaman penyenaraian tersendiri, memudahkan anda untuk melihat lanjut, membaca ulasan, melihat gambar atau video dan sebagainya.

Langkah ini juga sekaligus membuatkan TikTok ingin benar-benar mendapatkan pegangan pasaran tinggi dalam arena edagang, mencabar syarikat lain seperti Shopee dan Lazada – walaupun sebelum ini dilakukan melalui aplikasi bersama kandungan lain-lain, tetapi aplikasi baru ini memfokuskan kepada edagang semata-mata.
Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun aplikasi TikTok Shop hari ini di iPhone atau Android, dan memudahkan lagi urusan pembelian anda tanpa perlu melalui perkongsian kandungan, dan fokus pada edagang semata-mata.