Samsung Galaxy A18 LTE Kini Rasmi Di Malaysia – Harga Serendah RM1,099
Amy Maizuraa
Samsung Galaxy A18 LTE kini tersedia di Malaysia sebagai pilihan baharu yang menawarkan gabungan spesifikasi dan sokongan perisian jangka panjang.

Ia hadir dengan skrin Super AMOLED 6.7 inci yang menawarkan resolusi FHD+. Ini dipadankan dengan cip lapan teras yang beroperasi pada kelajuan sehingga 2.2GHz, bersama memori 6GB RAM serta storan dalaman 128GB yang turut boleh diperluaskan melalui kad microSD sehingga 2TB. Ia juga menerima sokongan sehingga enam kemas kini Android utama dan enam tahun kemas kini keselamatan.

Galaxy A18 turut hadir dengan sistem kamera belakang 50MP + 5MP + 2MP yang menyokong zum digital sehingga 10x manakala kamera hadapan menggunakan sensor 13MP untuk swafoto dan panggilan video. Turut melengkapi peranti ini ialah bateri berkapasiti 5,000mAh serta penarafan IP64 yang memberikan perlindungan terhadap habuk dan percikan air.

Bagi yang berminat, Galaxy A18 ditawarkan pada harga RM1,199 dengan pilihan warna Light Blue, Black dan Silver. Samsung turut menawarkan promosi istimewa bagi pembelian peranti ini dari 14 Oktober hingga 31 Disember 2026 yang membolehkan pembeli menikmati rebat sebanyak RM100, sekali gus menjadikan harga peranti ini RM1,099 untuk tempoh terhad. Setiap pembelian dalam tempoh promosi tersebut juga didatangkan dengan pengecas pantas 25W secara percuma sekali gus menambah nilai keseluruhan pakej yang ditawarkan.