DJI Power Auro 2000 Elite Dijual Di Malaysia Pada Harga RM6,509
Amy Maizuraa
DJI memperkenalkan Power Auro 2000 Elite di Malaysia iaitu sebuah stesen kuasa mudah alih berkapasiti 2kWh yang sesuai digunakan untuk aktiviti luar dan sebagai bekalan kuasa kecemasan di rumah.

Ia menawarkan kuasa sehingga 2,000W serta menyokong kapasiti yang boleh ditingkatkan sehingga 12kWh menerusi bateri tambahan yang akan diperkenalkan pada masa hadapan. Ia turut hadir dengan reka bentuk semua-dalam-satu yang menggabungkan pengecas kenderaan, modul MPPT solar, kabel USB-C 140W boleh tarik serta dua port pintar SDC dalam satu unit.

Pengguna boleh memilih antara lima kaedah pengecasan termasuk bekalan kuasa AC, bateri kenderaan, panel solar, gabungan input solar dan kenderaan serta mod pengecasan hibrid pintar yang menggabungkan pelbagai sumber tenaga bagi mempercepatkan proses pengecasan. Melalui bekalan kuasa AC, bateri boleh dicas daripada 0 hingga 80% dalam tempoh kira-kira 1 jam. Selain itu, port SDC yang disediakan turut menyokong pengecasan pantas untuk beberapa model dron DJI yang serasi.

Auro 2000 Elite menggunakan bateri jenis LFP yang direka untuk keselamatan yang lebih baik. Menurut DJI, bateri ini mampu mengekalkan lebih 70% kapasiti selepas 6,000 kitaran pengecasan. Ia turut dilengkapi sistem pengurusan bateri pintar bagi memantau operasi secara berterusan, serta menyokong mod UPS yang membolehkan pertukaran kepada kuasa bateri berlaku dalam tempoh 0.01 saat sekiranya bekalan elektrik utama terputus.
Bagi yang berminat, Power Auro 2000 Elite boleh didapati pada harga RM6,509.