Sony MDR-3R Dilancarkan Dengan Rekaan Klasik Dan Sambungan USB-C – Harga RM259
Amy Maizuraa
Sony membawa kembali identiti reka bentuk klasik MDR-3 menerusi MDR-3R. Model baharu ini masih mengekalkan elemen asal seperti pad telinga berwarna biru dan jingga, namun kini hadir dengan sambungan USB-C yang lebih sesuai digunakan bersama peranti moden.

MDR-3R menggunakan pemacu audio 23mm yang dibuat berasaskan spesifikasi asal MDR-3. Sony berkata prestasi audionya turut ditambah baik bagi mengekalkan identiti bunyi model asal tanpa mengabaikan keperluan pengguna masa kini. Ia juga dilengkapi mikrofon terbina serta alat kawalan pada kabel bagi memudahkan pengguna mengawal muzik dan menjawab panggilan telefon. Menurut Sony, MDR-3R tidak memerlukan pengecasan atau sambungan Bluetooth kerana ia hanya perlu disambungkan terus ke peranti yang serasi melalui USB-C.


Selain itu, Sony menyatakan bahawa kira-kira 25% plastik yang digunakan pada fon kepala ini terdiri daripada bahan kitar semula. Pada masa yang sama, pembungkusannya direka tanpa penggunaan plastik bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Bagi yang berminat, Sony MDR-3R dijual di Malaysia pada harga RM259.
Sumber: Sony Malaysia