Razer Hammerhead V3 Chroma Boleh Didapati Di Malaysia Pada RM399
Amy Maizuraa
Razer hadir dengan Hammerhead V3 Chroma sebagai fon telinga berwayar USB-C baharu yang direka untuk konsol mudah alih dan PC. Ia dilengkapi dengan sokongan ANC terbina serta konfigurasi dwi-pemacu yang menggabungkan pemacu audio 11mm untuk bass yang lebih mendalam dan tweeter 6mm untuk menghasilkan vokal tinggi yang lebih jelas.

Ini dipadankan dengan sokongan THX Surround Sound 7.1 menerusi perisian Razer Synapse. Pengguna turut boleh memilih beberapa tetapan audio terbina seperti Gaming, Music dan Calls serta melaraskan tetapan EQ mengikut keperluan sendiri. Turut disediakan, penyambung USB-C bersudut 90 darjah yang direka untuk keselesaan penggunaan pada telefon atau konsol dalam mod landskap.

Hammerhead V3 Chroma juga mempunyai pelindungan IPX4 serta alat kawalan terbina pada kabel untuk melaras kelantangan audio, mengawal kandungan media dan mengaktifkan ANC tanpa perlu keluar daripada permainan. Melengkapinya ialah sokongan Razer Chroma RGB pada kedua-dua fon telinga dengan pilihan 16.8 juta warna serta pelbagai jenis pencahayaan yang boleh disesuaikan mengikut pengguna.

Semakan di laman web rasmi Razer Asia menunjukkan Razer Hammerhead V3 Chroma ditawarkan pada harga RM399.
Sumber: Razer Newsroom