Ulasan Mijia Front Load Washer Dryer Pro – Basuhan Dan Pengeringan Menerusi Satu Sentuhan
Ikhwan Nazri
Kerja rumah mungkin satu perkara yang dirasakan melecehkan dan memenatkan. Seiring dengan kemajuan teknologi, penciptaan peranti pintar untuk tugasan rumah semakin banyak memasuki pasaran dan memudahkan pemilik dalam kehidupan seharian. Xiaomi yang popular dengan telefon pintar mereka turut meneroka barisan peranti rumah pintar dan pada September yang lepas mereka melancarkan Mijia Front Load Washer Dryer Pro, iaitu mesin basuh muatan hadapan dengan kapasiti 12.5kg untuk basuhan dan 8kg untuk pengeringan.

Rekaan & Spesifikasi
Kebiasaannya, mesin basuh yang mempunyai dua fungsi dan juga muatan besar, hadir dalam saiz yang besar. Namun mesin basuh ini mempunyai dimensi yang sesuai dipasang di dapur mahupun di tandas. Kebanyakan kabinet rumah direka dengan ketinggian sekitar 90cm, dengan lebar 60cm dan kedalaman sekitar 65cm. Mengambilkira rekaan yang bersesuaian dengan kabinet dapur, ukurannya setinggi 85cm, lebar 59.8cm dan kedalaman 61cm termasuk penutup, mesin basuh ini sememangnya sesuai menjadi salah satu peralatan yang kemas tersemat bersama kabinet. Saya meletakkan mesin basuh ini di ruangan tandas kerana memberikan laluan kepada mesin lain, namun masih muat dan tidak terlalu mengambil ruang. Pihak Xiaomi sendiri telah menghantar dan memasang mesin basuh ini.

Di hadapan mesin basuh ini terdapatnya paparan dan juga kawalan berasaskan skrin sentuh. Menggunakannya sedikit berbeza dari mesin basuh biasa yang dipenuhi butang atau tombol, ia memanfaatkan 4 butang skrin sentuh dengan paparan di tengah memaparkan fungsi dan juga pilihan basuhan yang diinginkan, dan dibantu butang atas dan bawah untuk melihat lebih banyak pilihan. Memandangkan kapasiti Mijia Front Load Washer Pro ini adalah seberat 12.5kg, ia menggunakan dram dengan diameter 52.5cm.
Sarat Dengan Fungsi Pintar
Sebagai syarikat yang menekankan teknologi, mesin basuh Mijia Front Load Washer Dryer Pro ini dilengkapi pelbagai fungsi pintar. Pertama sekali adalah fungsi Dual Auto Dosing dimana anda tidak perlu meletakkan sabun untuk setiap kali basuhan, tetapi satu isian penuh adalah mencukup untuk basuhan berkala setiap minggu. Saya sendiri sewaktu artikel ini ditulis, telah menggunakan mesin basuh ini menghampiri 2 bulan dan masih tidak melakukan isian semula untuk sabun basuhan, akan tetapi ruangan bahan pelembut fabrik nampaknya telah perlu diisi semula.


Terdapat satu fungsi iaitu Freshen, dimana sekiranya anda membasuh pakaian, dan mungkin akan membiarkannya didalam dram basuhan untuk beberapa ketika, fungsi ini akan memutarkan semula dram dalam tempoh yang ditetapkan pengguna. Ini bagi mengelakkan hasil basuhan menjadi kepam, dan mengekalkan kesegaran fabrik.

Seterusnya bagi membasmi kuman, terdapatnya fungsi basuhan Hygiene dimana ia akan menggunakan basuhan menggunakan wap pada suhu tinggi yang dikatakan dapat membasmi sehingga 99.999% virus dan bakteria, serta 100% hama atau tungau.
Seperkara mengenai mesin basuh adalah penyelenggaran. Menariknya mesin basuh ini mempunyai fungsi untuk melakukan pembersihan kendiri. Menerusi pemantuan yang dilakukan secara automatik, pembersihan kendiri mesin basuh ini turut merangkumi pembersihan dram pada suhu tinggi, pembersihan tempat isian sabun basuhan dan pelembut fabrik, serta pembersihan untuk pintu bukaan muatan hadapan. Ini sekaligus memudahkan pemilik kerana tidak perlu melakukan penyelenggaran yang rumit.

Prestasi Pembasuhan Dan Pengeringan
Sewaktu artikel ini ditulis, sekitar 51 basuhan telahpun dilakukan dengan kebanyakan darinya adalah menggunakan fungsi Smart Wash. Fungsi Smart Wash membolehkan pembasuhan dan pengeringan dilakukan secara automatik, dan untuk tujuan pengeringan kebanyakan masanya saya memilih Smart Dry, dengan pilihan pengeringan ‘Wearing’. Untuk fungsi pengeringan, terdapat pilihan Ironing, Wearing dan Storing dan sepertimana namanya, memberikan kepanasan berpatutan kepada pakaian.


Dalam kebanyakan masa juga saya mendapati, sekiranya pakaian diletakkan secara terus, ia akan kering tanpa masalah. Namun lain pula ceritanya dengan pakaian yang sedikit sensitif yang biasanya diletakkan dalam beg jaring khusus, dimana tidak dirasakan begitu kering dan memerlukan saya untuk menjemurnya. Sebagai perbandingan, boleh dikatakan pada kebanyakan masa 80% pakaian benar-benar kering, dan baki 20% berada dalam keadaan 70% kering dan memerlukan ia dijemur.
Dari segi masa diambil pula, memandangkan kebanyakan masa saya menggunakan Smart Wash, ia mengambil masa yang lama untuk melengkapkan kitaran ini iaitu menjangkau 3 jam termasuklah proses pengeringan. Saya pernah mencuba Quick Wash, dan basuhan dapat disiapkan dalam tempoh sekitar 30 minit.

Integrasi Rumah Pintar Menerusi Aplikasi Xiaomi Home
Dibawah siri Mijia, peranti-peranti rumah pintar dari Xiaomi ini dihubungkan dengan pengguna menerusi aplikasi Xiaomi Home. Oleh itu anda sentiasa akan menerima maklumat dan juga notifikasi berkenaan mesin basuh Mijia Front Load Washer Pro ini. Lebih dari itu, aplikasi yang sama juga dapat digunakan untuk memulakan tugasan cucian. Pengguna boleh memilih pelbagai mod pembasuhan, serta mod pengeringan dan untuk setiap perkara pengguna juga bebas menetapkan perbagai perkara, seperti contoh memilih berapa banyak penggunaan sabun, atau sekiranya memilih tugasan mengeringkan, seberapa kering anda mahukan baju tersebut nanti.

Dalam aplikasi ini juga, pemilik boleh mengetahui analisis dan corak penggunaan mesin basuh ini. Anda dapat mengetahui berapa liter air telah digunakan, berapa kuasa elektrik telah digunakan dan berapa kerap cucian telah dilakukan. Anda juga dapat melihat sejarah cucian yang dilakukan, dan ini dapat membantu anda dalam melakukan perbandingan hasil cucian.


Namun begitu, anda hanya boleh mengawal mesin basuh ini sekiranya anda memilih Remote Start ‘On’ untuk setiap kali mesin basuh ini dihidupkan. Sekiranya anda telah mematikan mesin basuh ini, kemudian menghidupkannya, pilihan Remote Start akan berada dalam keadaan ‘Off’. Anda perlu menghidupkannya, kemudian barulah anda boleh mengawal dari aplikasi Xiaomi Home. Saya rasa mungkin perkara ini sebagai salah satu langkah sekuriti, dimana anda benar-benar menghidupkan mesin basuh barulah dapat mengawalnya. Ia memang terhubung dengan awan, namun jika anda tidak menghidupkannya, anda tidak boleh melakukan kawalan jarak jauh.

Buat masa ini, Xiaomi atau menerusi jenama rumah pintar mereka Mijia mungkin satu nama yang popular di China, namun boleh kata baru bertapak di Malaysia. Sepertimana perkakasan rumah yang lain, hanya masa benar-benar dapat memberikan kata putus namun apa yang pasti, pada harganya iaitu RM 3,399 dan dengan kapasiti basuhan 12.5kg dan pengeringan 8kg, Mijia Front Load Washer Dryer Pro ini bersama dengan barisan jenama premium yang telah lama bertapak di pasaran.

Akan tetapi sekiranya anda berminat membina rumah pintar yang penuh dengan peranti terhubung, mungkin disinilah kekuatan mesin basuh ini dengan integrasi Xiaomi Home yang membolehkan kawalan dan pemantauan serta analisa corak basuhan anda memainkan peranan. Menariknya untuk masa terhad sempena 11.11 Xiaomi menawarkan Mijia Front Load Washer Dryer Pro 12.5kg pada harga RM 2,049 jadi jika anda mencari mesin basuh dan pengeringan, mungkin anda boleh berkira-kira untuknya.