Apple Mula Mengenakan Bayaran Untuk Penggunaan Ciri AI Tambahan
Effi Saharudin
Ciri kecerdasan buatan (AI) memerlukan akses kepada kuasa pemprosesan awanan. Maka majoriti syarikat seperti Google dan Canva mula mengenakan langganan untuk menggunakan ciri ini. Terkini Apple mula memperkenalkan bayaran kepada pengguna yang ingin mengakses ciri AI tambahan pada Logic Pro di Mac.

Ciri AI di Logic Pro diperkenalkan minggu lalu dengan ia adalah pembantu maya AI yang boleh membantu pengguna melakukan tugasan tertentu. Ia mempunyai had penggunaan bulanan. Tetapi jika pengguna ingin mengakses lebih banyak ciri melebihi kuota yang diberikan, Apple menawarkannya dengan bayaran $49.99 setahun.
Langganan adalah untuk pengguna Apple Creator Studio di Amerika Syarikat, Brazil, India, Jerman, Kanada Mexico, Perancis, dan United Kingdom. Bayaran tambahan ini diperlukan kerana menurut dokumen Logic Pro, ciri AI ini ditawarkan oleh Google Gemini dan bukan Apple sendiri.
Hakikatnya ialah pelbagai ciri AI pada peranti pintar sekarang hanya menawarkan ciri asas atau dalam jumlah yang terhad. Untuk ciri lebih berkuasa, berguna dan kuota lebih tinggi langganan tambahan diperlukan.
Sumber – MacRumors