Startup Week Malaysia 2026 Bakal Berlangsung 16 Hingga 20 November – Himpunkan Pelbagai Sesi Startup, AI Dan Teknologi
Amy Maizuraa
Idea yang baik sering menjadi titik permulaan sesebuah perniagaan. Namun, cabaran sebenar bermula apabila perniagaan mula berkembang dan perlu menarik pelanggan, mengurus kewangan serta kekal relevan dalam pasaran yang semakin mencabar.

Dalam konteks itu, Startup Week Malaysia 2026 akan berlangsung dari 16 hingga 20 November di Asia School of Business (ASB), Kuala Lumpur. Acara selama 5 hari ini menghimpunkan pelbagai sesi perkongsian, bengkel dan aktiviti yang memberi tumpuan kepada pembangunan syarikat pemula di samping mengupas pelbagai isu semasa yang berkait rapat dengan dunia perniagaan dan teknologi.

Antara tumpuan utama penganjuran kali ini ialah Startup School Malaysia 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 17 November 2026. Program sehari penuh itu memberi tumpuan kepada beberapa cabaran yang lazimnya dihadapi startup peringkat awal termasuk pengumpulan dana, pembangunan produk dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan.
Pihak penganjur turut menawarkan 5 biasiswa kepada usahawan terpilih yang mempunyai akses terhad kepada program pembangunan keusahawanan sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pengasas baharu untuk menyertai Startup School Malaysia 2026.

Di samping itu, Startup Week Malaysia 2026 turut menghimpunkan pelbagai sesi yang menyentuh perkembangan dan cabaran semasa dalam ekosistem perniagaan dan teknologi. Antara topik dibincangkan termasuk AI dalam strategi pemasaran, perundangan tenaga kerja, keselamatan siber serta industri kewangan. Turut diadakan ialah sesi yang menghimpunkan pengasas dan pelabur terkemuka, di samping cabaran pembangunan produk yang membolehkan peserta membangunkan penyelesaian lebih realistik.

Orang ramai yang berminat boleh mengikuti beberapa sesi secara percuma. Pada masa yang sama, program terpilih turut ditawarkan pada yuran bermula RM20. Maklumat lanjut mengenai acara penuh boleh disemak menerusi laman rasmi Startup Week Malaysia.