Google Lancarkan Dua Cip TPU Baharu Untuk Kegunaan AI
Effi Saharudin
Google memperkenalkan dua lagi cip TPU generasi kelapan iaitu TPU 8tx dan TPU 8i Max. Ini menjadikan setakat ini Google telah melancarkan empat cip TPU generasi kelapan selepas TPU 8t dan TPU 8i dilancarkan pada April lalu.

TPU 8tx menumpukan kepada keselamatan dan privasi data. Ia direka khas untuk industri yang dikawal selia serta organisasi kerajaan, dengan ciri perkomputeran sulit pada peringkat perkakasan. Data sensitif dan parameter model kekal terasing serta disulitkan walaupun ketika pemprosesan sedang dilakukan
TPU 8i Max pula direka untuk model AI dengan tetingkap konteks yang sangat besar untuk memproses ribuan barisan kod dan video sepanjang beberapa jam secara serentak. Isu pada cip terdahulu ialah lebar jalur yang kecil membuatkan pemprosesan ini tidak boleh dilakukan. TPU 8i Max menggabungkan dua cip TPU 8i dalam satu unit.
Dengan pengenalan dua lagi cip TPU 8, Google berkata ia akan meningkatkan sokongan ejen berautonomi dan dan beban kerja AI yang semakin kompleks.