GTA VI Sudah Boleh Dimuat Turun – Saiz Fail Mencecah 320GB, Memerlukan Kemaskini 14.22 Di PS5
Nazrin
Permainan video Grand Theft Auto VI sudah boleh mula dimuat-turun bagi mereka yang melakukan prarempahan hari ini dan seperti yang dijangka, ia tampil dengan muat-turun yang sangat besar sekali. Pengumuman rasmi oleh Rockstar memperlihatkan saiz failnya pada 210GB, tetapi terdapat beberapa pihak yang telah melihat kepada metadata fail yang dimuat-turun pada konsol tersebut dan menemukan beberapa butiran tambahan yang menarik.
Walaupun pengumuman Rockstar berkenaan saiz fail muat-turun permainan adalah pada 212GB, saiz muat-turun fail sebenar yang diperlihatkan adalah sebesar 223GB, dengan penyenaraian fail memperlihatkan saiz pemasangan penuh setinggi 320GB. Perkara ini belum disahkan lagi, kerana pemasangan penuh belum lagi boleh dilakukan. Butiran ini juga mungkin adalah untuk saiz fail akhir dengan sebarang kandungan tambahan yang akan tiba kelak.

Kebelakangan ini, terdapat banyak laporan tentang Sony PlayStation 5 sudahpun boleh di-jailbreak, yang bermakna bahawa konsol tersebut boleh memainkan pelbagai permainan video PS5 yang tidak rasmi. Pihak pelombong data mengatakan bahawa GTA VI tidak boleh dimainkan sekiranya konsol tersebut tidak hadir dengan kemaskini sistem operasi 14.22 yang diperkenalkan pada awal bulan ini.
Menurut pelombong data lagi, fail-fail paling besar yang diperlihatkan pada permainan ini adalah untuk data dunia permainan, tekstur grafik, audio dan data penceritaan. Jika anda memiliki sebuah konsol PlayStation 5 Pro, permainan ini juga tampil dengan data Ray-tracing yang boleh digunakan untuk mengolah grafik dalam permainan yang lebih mendalam.
Grand Theft Auto VI boleh mula dimainkan secara rasmi pada 19 November 2026.
Sumber: VideoCardz