Infinix XBOOK 14 Neo Kini Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM2,199
Amy Maizuraa
Infinix kini membawa masuk XBOOK 14 Neo ke pasaran Malaysia. Komputer riba ini hadir dengan reka bentuk ringan dan prestasi yang sesuai untuk kegunaan harian. Ia turut ditawarkan dalam pilihan warna yang lebih ceria berbanding kebanyakan model lain dalam kategori yang sama.

XBOOK 14 Neo dilengkapi dengan skrin 14-inci beresolusi 1920 × 1200 piksel dengan nisbah aspek 16:10. Skrin ini turut boleh dibuka sehingga 178 darjah serta dipadankan dengan papan kekunci bercahaya yang menawarkan dua tahap kecerahan. Tunjang utamanya pula terdiri daripada pilihan CPU Intel Core i3-1315U atau Intel Core i5-1335U bersama memori 8GB RAM dan storan SSD sehingga 512GB. Turut disertakan ialah sistem penyejukan berasaskan kipas tunggal dan paip haba untuk pelepasan haba yang lebih baik.

Komputer riba ini juga dilengkapi dengan pembesar suara stereo yang menyokong DTS Audio, kamera HD dengan penutup privasi, bateri 55Wh, Infinix PC Connection serta langganan Microsoft 365 percuma selama sebulan. Pilihan I/O pula merangkumi port HDMI 1.4, USB-C, USB 3.2, USB 2.0, bicu audio 3.5mm dan slot keselamatan Kensington.

Bagi yang berminat, Infinix XBOOK 14 Neo ditawarkan di Malaysia pada harga RM2,199 bagi model 8GB RAM + 256GB storan. Model dengan 8GB RAM dan storan 512GB pula ditawarkan pada harga RM2,699.