Claude Sheets, Meetings dan Whiteboards Dilancarkan Sebagai Pesaing Microsoft 365
Effi Saharudin
Anthropic melancarkan beberapa perkhidmatan baharu hari ini untuk mengintegrasikan Claude ke dalam pelbagai tugasan pejabat. Claude Sheets, Meetings dan Whiteboards dilancarkan khusus sebagai pesaing kepada perisian pejabat sedia ada seperti Google Workspace dan Microsoft 365.

Claude Sheets ialah kecerdasan buatan yang boleh menghasilkan kertas kerja berdasarkan arahan serta data yang diberikan. Ia turut boleh menjejak kempen, melakukan belanjawan pejabat dan lembaran kerja lain yang lengkap dengan formula serta dalam pelbagai format. Claude Sheets masih diperingkat beta oleh semua pelanggan dengan ia boleh diakses menerusi laman web, desktop dan peranti mudah alih.

Claude Meetings pula menyertai sesi telesidang yang dihadiri oleh pengguna. Ia memantau perbincangan dan perbualan topik yang dibincangkan serta mengambil nota. Semasa perbincangan sedang dilakukan, pengguna boleh menyuruh Claude mencari maklumat yang diperlukan daripada aplikasi yang digunakan di pejabat untuk perbincangan tanpa perlu melakukannya sendiri.
Selepas mesyuarat tamat, nota dan bahan yang dihasilkan disimpan dalam Claude. Claude Meetings kini boleh digunakan dalam versi beta untuk pelan Team dan Enterprise dengan ia pada waktu ini disokong dalam Google Meet.

Seterusnya Claude Whiteboards pula berinteraksi dengan Claude Meetings untuk menghasilkan papan perbincangan secara langsung semasa sesi telesidang. Papan kerja dipaparkan secara visual dengan semua ahli pasukan boleh bekerjasama. Claude kemudian boleh menyusun idea menjadi pelan projek yang lebih teratur, garis masa projek dan tugasan. Papan kerja yang dihasilkan ini boleh diubah menjadi slaid atau dokumen oleh Claude.