GTA VI Permainan Video Dengan Pra-tempahan Tertinggi Di Platform Digital Sony Dan Microsoft
Nazrin
Dua hari lalu kami telah melaporkan bahawa permainan video Grand Theft Auto VI telah menjana 7.7 juta pra-tempahan dengan nilai kira-kira $751 juta (~RM 3 bilion) menerusi platform konsol Sony PlayStation dan juga Microsoft Xbox.
Terkini, kedua-dua syarikat tersebut telah mengesahkan bahawa GTA VI merupakan permainan video dengan jumlah pra-tempahan yang tertinggi pada platform pembelian permainan digital mereka, iaitu PlayStation Store dan juga Microsoft Store.

Kedua-dua syarikat tersebut juga telah membuka muat-turun awal untuk membolehkan pemain untuk memuat-turun fail-fail besar permainan tersebut sebelum ia dipasang dan boleh dimainkan pada 19 November ini. Untuk permulaan, pemain akan boleh memainkan mod pemain tunggal untuk menikmati penceritaan permainan tersebut terlebih dahulu.
Tiada butiran lanjut mengenai mod permainan atas-talian GTA Online buat masa ini, dengan ramai yang menjangkakan bahawa ia hanya akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

Untuk konsol Xbox, Microsoft juga telah mengesahkan bahawa GTA VI boleh dimainkan secara awanan melalui perkhidmatan XBOX Cloud Gaming sekiranya mereka melanggani untuk perkhidmatan tersebut. Melalui penstriman, GTA VI akan dimainkan dengan tetapan grafik sama seperti jika anda memainkannya pada konsol Xbox Series S.
Ini bermakna jika pengguna memiliki konsol Xbox One yang lama, mereka dengan langganan Xbox Cloud Gaming masih boleh menikmati permainan tersebut tanpa masalah.

Untuk konsol PlayStation 5 pula, khususnya jika anda memiliki konsol PlayStation 5 Pro, anda boleh memainkan permainan ini pada resolusi 4K dengan olahan grafik cantik dan kadar segar semula yang lancar dengan bantuan PSSR (PlayStation Super Resolution), tindakbalas haptik pada alat kawalan DualSense dan Tempest 3D Audio melalui fon kepala Sony Pulse 3D. Sony juga telah memperkenalkan alat kawalan DualSense khas dengan tema permainan ini.