Oppo Reno17 Masih Mengekalkan Rekaan Terdahulu
Oppo dilihat masih mengekalkan identiti rekaannya pada siri Reno17 yang bakal diperkenalkan. Perkara itu dapat dilihat menerusi imej promosi rasmi yang dikongsi oleh Oppo China yang memperlihatkan rekaan berkotak dengan bonggol kamera berbentuk segi empat serta susunan tiga kamera di bahagian belakang.

Tumpuan utama kali ini masih terarah pada panel belakang yang menggunakan corak abstrak bertekstur dengan kemasan berkilat. Menariknya, corak tersebut seakan-akan membentuk siluet seekor kucing. Ia juga bukan kali pertama Oppo menggunakan elemen haiwan dalam rekaan siri Reno. Sebelum ini, siri Reno13 menampilkan motif rama-rama, manakala Reno14 pula dikaitkan dengan elemen ekor ikan duyung. Terdapat juga beberapa generasi yang menggunakan elemen bintang sebagai sebahagian daripada identiti rekaannya.

Setakat ini, warna biru muda merupakan satu-satunya pilihan yang diperlihatkan. Namun begitu, lebih banyak pilihan warna dijangka diperkenalkan apabila peranti ini dilancarkan kelak. Kuad-kamera 50MP turut akan digunakan yang merangkumi kamera utama, ultra lebar, periskop telefoto serta swafoto di hadapan. Penawaran ini dilihat meneruskan konfigurasi yang pernah diperkenalkan pada siri Reno16 sebelum ini.
Banyak lagi ciri dan fungsi yang masih dirahsiakan oleh Oppo pada ketika ini. Segala persoalan mengenainya bakal terjawab menerusi pelancaran rasmi pada 16 November 2026.