Reddit Perkenalkan Ciri Ulasan Baharu Berasaskan Pengalaman Pengguna
Amy Maizuraa
Reddit memperkenalkan Reddit Reviews, iaitu ciri yang menggabungkan pelbagai perbincangan dan ulasan pengguna mengenai produk dalam satu paparan yang lebih mudah diakses.

Melalui Reddit Reviews, pengguna boleh mendapatkan ringkasan pandangan pengguna Reddit mengenai sesuatu produk melalui ruangan carian. Ciri ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengumpulkan dan menyusun perbincangan berkaitan produk termasuk kelebihan, kekurangan, maklum balas pengguna serta perkara yang sering dibincangkan mengenainya.

Selain itu, pengguna boleh melihat komen asal, menyertai perbincangan komuniti serta membandingkan sesuatu produk dengan pilihan lain yang turut mendapat perhatian di Reddit. Halaman ulasan tersebut juga memaparkan produk popular, pilihan mesra bajet dan cadangan alternatif bagi membantu pengguna membuat keputusan pembelian.
Pada peringkat awal, Reddit Reviews akan memaparkan kira-kira 10,000 produk yang sering dibincangkan oleh pengguna Reddit dalam kategori seperti elektronik, kesihatan dan kecantikan, rumah dan taman serta fesyen. Ciri ini sedang diuji dan akan diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna di Amerika Syarikat menerusi aplikasi iOS, Android dan laman web Reddit.

Reddit turut menjelaskan bahawa produk yang dipaparkan bukan dipilih melalui iklan atau bayaran daripada syarikat. Sebaliknya, ia dibuat berdasarkan perbincangan sebenar pengguna. Selain itu, kandungan tersebiut turut dipantau oleh pentadbir komuniti dan tertakluk kepada peraturan platform bagi memastikan maklumat yang dikongsi lebih dipercayai.
Sumber: Introducing Reddit Reviews