TPG Membuat Keputusan Berkenaan Tiga Kes Pekerja Gig Platform Perkhidmatan Seru-Pandu
Nazrin
Pada minggu lepas, Tribunal Pekerja Gig (TPG) dibawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah memberi keputusan berkenaan tiga kes berkenaan pekerja-pekerja gig yang menggunakan platform seru-pandu dan perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan Grab.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia mengatakan bahawa tiga kes berkenaan merangkumi tuntutan kewangan, pengendalian sistem platform digital dan juga penyahaktifan akaun pemandu akibat salah laku pemandu.
Kes pertama dilihat berkenaan pertikaian antara seorang pemandu seru-pandu yang melibatkan tuntutan pendapatan daripada tempahan Saver, insentif Cashback dan juga Advance Booking. TPG bersetuju bahawa Grab perlu membayar tuntutan tersebut pada nilai RM2000 beserta faedah lapan peratus setahun, berkaitan tempahan Saver.

Dalam pada itu, TPG juga mengatakan bahawa pengendalian mekanisme Auto Accept dan Fast Cancel melanggar seksyen 8(1)(b) dan (c) Akta 872 yang menjamin hak pekerja gig untuk dimaklumkan mengenai jenis perkhidmatan dan pendapatan yang dipersetujui sebelum tugasan dilakukan.
Untuk kes kedua, seorang pemandu seru-pandu telah mengemukakan tujuh tuntutan bukan kewangan terhadap Grab berhubung pengendalian sistem dan operasi platform digital mereka. TPG sekali lagi telah menemui tiga pelanggaran terhadap Akta 872, berkaitan penghentian sementara tempahan, kuota pembatalan tempahan dan juga sistem Auto Accept.
TPG mengatakan Grab gagal menjelaskan syarat dan tempoh secara jelas berkenaan isu penghentian sementara tempahan dan kuota pembatalan tempahan, yang melanggar seksyen 8(2)(a) dan (b) Akta 872. Isu berkaitan ciri Auto Accept juga adalah sama seperti isu pada kes pertama, dimana mekanisme Auto Accept dilihat tidak memberi masa kepada pemandu untuk menentukan sama ada mereka mahu menerima atau menolak permintaan untuk tugasan yang diberikan.
Kes ketiga pula melihatkan TPG menegakkan keputusan Grab untuk mematikan akaun pemandu seru-pandu kerana pemandu seru-pandu tersebut telah dibuktikan bersalah dalam tiga kejadian berbeza dimana individu tersebut melakukan perbuatan yang tidak wajar yang boleh dianggap mengancam atau menakutkan serta menanyakan soalan peribadi yang tidak wajar terhadap penumpang.
TPG mengatakan bahawa walaupun penutupan akaun tersebut boleh menyebabkan kehilangan mata pencarian individu tersebut, mereka mengatakan bahawa keselamatan penumpang juga adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi, dan oleh kerana insiden dilihat berlaku berulang-kali, keputusan untuk mematikan akaun tersebut adalah munasabah.