WhatsApp Tambah Sokongan ‘View Once’ Untuk Mesej Teks
Amy Maizuraa
WhatsApp menguji ciri baharu yang membolehkan pengguna menghantar mesej teks yang hanya boleh dibaca sekali sebelum hilang secara automatik daripada perbualan. Ini sekali gus memperluaskan fungsi View Once yang sebelum ini hanya disediakan untuk gambar, video dan mesej suara.

Penggunaannya juga agak mudah. Pengguna hanya perlu menaip mesej seperti biasa dan mengaktifkan pilihan View Once sebelum menghantarnya. Penerima hanya boleh membuka mesej tersebut sekali dan tidak lagi dapat melihatnya selepas ia ditutup. WhatsApp turut menyertakan beberapa ciri perlindungan tambahan termasuk menyekat tangkapan layar dan rakaman skrin serta menghalang mesej daripada disalin, disimpan atau dikongsi semula.
Buat masa ini, ciri berkenaan hanya tersedia kepada sebahagian pengguna WhatsApp Beta untuk Android dan akan diperluaskan secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang.
Sumber: WABetaInfo