CelcomDigi Perkenalkan Pas Prabayar StreamMORE Baharu Serendah RM1
Amy Maizuraa
Pelanggan prabayar CelcomDigi kini tidak perlu lagi berbelanja besar setiap bulan semata-mata untuk menonton rancangan kegemaran. Menerusi pengenalan pas baharu StreamMORE, pelbagai kandungan hiburan boleh diakses pada harga serendah RM1 sahaja.

Tawaran ini merangkumi siaran sukan secara langsung seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), program hiburan tempatan seperti Gegar Vaganza, serta deretan drama Korea, China, Indonesia dan anime terkini. Tiga pilihan pas mengikut bajet dan keperluan anda turut disediakan lengkap dengan kuota data berkelajuan tinggi:

- StreamMORE Sooka Daily (RM1/hari): Akses penuh kandungan Sooka dan sukan langsung selama 24 jam berserta data 500MB.
- StreamMORE Asian Weekly Bundle (RM3/minggu): Gabungan akses Viu dan iQIYI selama 7 hari berserta data 1GB buat peminat drama Asia.
- StreamMORE VISION+ Premium (RM5/bulan): Akses 30 hari untuk peminat sinetron dan drama Indonesia berserta saluran TV langsung dan sukan lengkap dengan data 5GB.
Bagi pengguna yang mengutamakan kualiti HD untuk langganan sebulan penuh, CelcomDigi juga menyediakan pelan StreamMORE Sooka Sports & Entertainment pada harga RM15. Berlainan daripada pakej harian dan mingguan sebelum ini, pelan ini terbuka kepada pengguna prabayar serta pascabayar, di samping menyokong tontonan pada dua peranti secara serentak.
Kesemua pas ini sudah boleh mula dilanggan menerusi ruangan Lifestyle dalam aplikasi CelcomDigi bermula hari ini.