Gemini Kini Diintegrasikan Dengan Apple CarPlay
Amy Maizuraa
Google kini membolehkan Gemini diakses menerusi Apple CarPlay. Melaluinya, pengguna iPhone boleh menggunakan Gemini Live terus melalui skrin sistem inforia kenderaan sekali gus memudahkan mereka mengakses pelbagai fungsi melalui arahan suara ketika memandu.

Untuk menggunakannya, pemandu hanya perlu menekan ikon Gemini pada skrin utama atau bar sisi Apple CarPlay. Mereka kemudiannya boleh mengemukakan soalan, meneruskan perbualan sebelum ini atau menambah maklumat lain mengikut keperluan. Jika perlu memberi tumpuan kepada pemanduan, perbualan turut boleh dijeda seketika sebelum diteruskan semula.

Menariknya, semua perbualan menerusi Apple CarPlay akan disimpan secara automatik dan diselaraskan dengan sejarah sembang dalam aplikasi Gemini pada iPhone selepas kenderaan diparkir. Dengan cara ini, pengguna boleh melihat semula perbualan terdahulu melalui telefon tanpa perlu mengulangi perkara yang telah dibincangkan. Ciri ini mula ditawarkan secara berperingkat kepada pengguna iOS global.