Pratempahan Samsung Intelligent Eyewear Dibuka – Jualan Bermula 10 Disember
Effi Saharudin
Samsung akhirnya membuka pratempahan untuk cermin mata pintar Samsung Intelligent Eyewear di Korea Selatan dan Amerika Syarikat dengan ia akan dijual ke pasaran terbuka di kedua-dua negara ini bermula 10 Disember. Sebanyak 30 rekaan ditawarkan ke pasaran dengan ia menerima sentuhan daripada Gentle Monster dan Warby Parker sementara sistem operasi Android XR pula dibangunkan dengan kerjasama Google.

Dua cermin mata ini adalah dari jenis audio dengan sokongan pembantu maya, dilengkapi kamera 12MP dan tidak dilengkapi skrin terbina. Ia menggunakan cip pemproses Snapdragon AR1 Gen1, memori 2GB RAM, storan 64GB dan bateri boleh berfungsi sehingga 9 jam dengan sekali caj. Bekas simpanan merangkap pod pengecas yang disertakan pula memberikan waktu penggunaan sehingga 72 jam.

Terdapat dua speaker dan empat mikrofon terbina. Rangkaian Wi-Fi 6E dan Bluetooth v5.4 disokong. Sementara itu tubuh cermin mata melepasi piawaian IPX4 serta berat sekitar 41 gram. Buat masa ini Samsung Intelligent Eyewear hanya menyokong telefon pintar Galaxy S, Galaxy S FE, Galaxy Z Fold, Flip, dan Fold Ultra dengan One UI 9.0 dan ke atas. Pada peranti Google pula Google Pixel 7 dan ke atas dilengkapi Android 17 sahaja disokong. Akhir sekali iPhone 13 dengan iOS 26.6 dan ke atas sahaja disokong pada iPhone.

Dengan cermin mata pintar ini, ia akan mengurangkan penggunaan telefon pintar walaupun Samsung Intelligent Eyewearmemerlukan telefon pintar untuk berfungsi seperti sepasang Ray-Ban Meta. Menerusi kamera terbina ia boleh memahami apa yang sedang dipandang pemakai. Ia boleh memberikan arahan navigasi langkah-demi-langkah.

Menerusi integrasi ekosistem Galaxy pula, nota yang dilihat oleh cermin mata kemudiannya boleh diubah menjadi nota bertulis yang dipaparkan pada skrin telefon. Panggilan telefon boleh dijawab menggunakan cermin mata dan banyak lagi.
Integrasi ejen AI Gemini pula membolehkan pembelian dilakukan dengan arahan suara tanpa pemilik membuka telefon pintar. Semua pengesahan pembelian dilakukan dengan arahan suara sahaja.

Samsung hanya akan mula menjual cermin mata pintar ini pada musim luruh kelak iaitu sekitar bulan September. Harga serta di mana ia akan dipasarkan belum lagi diumumkan pada waktu ini.
Harga jualan di Amerika Syarikat ialah bermula $395 (~RM 1613) untuk Warby Parker Intelligent Eyewear dan $449-$499 (~RM 1834-RM 2039) untuk Gentle Monster Intelligent Eyewear bergantung kepada model.