Edits Tambah Fungsi Kawalan Kelajuan Video Dan Audio
Aplikasi suntingan Edits menerima beberapa ciri baharu yang memudahkan pengguna mengawal rentak klip dan kualiti audio secara terus dalam aplikasi tersebut.

Menerusi kemas kini ini, pengguna boleh menetapkan kadar kelajuan video mengikut keperluan, sama ada pada kadar lebih laju atau perlahan. Tetapan ini boleh digunakan pada mana-mana bahagian video bagi menghasilkan kesan yang lebih menarik. Selain pilihan sedia ada, pengguna juga bebas menentukan rentak kelajuan sendiri mengikut kreativiti masing-masing.

Ciri tetapan audio automatik pula membantu menstabilkan tahap bunyi pada pelbagai lapisan klip dalam video tanpa perlu melaraskannya secara manual. Pengguna turut boleh mengawal tempoh animasi teks termasuk menetapkan berapa lama teks dipaparkan pada skrin serta kelajuan teks muncul, menghilang dan bergerak secara berulang.

Ruangan inspirasi turut ditambah baik melalui fungsi saringan topik yang menyerupai ciri algoritma Meta. Menerusi fungsi ini, pencipta kandungan boleh memilih topik yang ingin dipaparkan dengan lebih kerap atau dikurangkan bagi mendapatkan rujukan idea yang lebih releven dengan kehendak mereka.
Meta turut memperluas akses aplikasi Edits ke platform komputer menerusi pelancaran versi macOS sebelum ini bagi membolehkan pengguna menyelesaikan keseluruhan proses suntingan dengan lebih selesa pada paparan skrin yang luas.