Apple Dijangka Perlihat Kaca Mata Siri AI Seawal WWDC 2027
Aman
Apple dibawah CEO baharu dilihat akan lebih memfokuskan kepada pengenalan pelbagai produk baharu. Selepas pengenalan iPhone boleh-lipat dan juga MacBook Pro dengan skrin sentuh, kini Apple dijangka memperlihatkan kaca mata Siri AI mereka pada WWDC 2027, sebelum ia ditawarkan kepada umum seawal penghujung 2027 kelak.
Apple biasanya mengadakan acara WWDC pada pertengahan tahun, membolehkan para pembangun bersedia dengan penawaran aplikasi mereka sebelum produk berkenaan dilancarkan.

Menurut Bloomberg, Apple akan lebih memfokuskan kepada ekosistem aplikasi pihak ketiga untuk kaca mata mereka, sesuatu yang tidak ditawarkan meluas oleh Meta untuk penawaran mereka pada hari ini. Disamping itu, ia turut akan hadir dengan sokongan Siri untuk menjawab sejumlah pertanyaan, disamping mengawal beberapa perkara.
Kaca mata generasi pertama Apple dikatakan akan masih bergantung kepada iPhone untuk mengakses aplikasi, dan menawarkan ciri WiFi untuk membolehkan ia berhubung sekiranya tiada iPhone berdekatan. Ini sekaligus memperlihatkan iPhone akan menjadi hab utama, sementara kaca mata pintar ini mungkin ditawarkan sebagai aksesori atau pelengkap – sebelum versi kendiri hadir pada masa akan datang.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan penawaran kaca mata Siri AI oleh Apple ini tidak lama lagi.