Korea Kaji Gunakan Kamera Termal Mencari Peranti AI Digunakan Calon Untuk Menipu Dalam Peperiksaan
Effi Saharudin
Teknik menipu dalam peperiksaan di zaman moden kini bukan lagi menggunakan “toyol” yang dilipat kecil atau disorok dalam bekas alat tulis Di China dan Korea Selatan, kes penipuan peperiksaan menggunakan cermin mata dengan kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat sehingga hukuman jika ditangkap melakukannya telah dinaikkan.
Pada hujung minggu lalu kerajaan Korea Selatan mengarahkan siasatan nasional terhadap kes-kes yang disyaki melibatkan penipuan menggunakan AI dalam peperiksaan kelayakan profesional negara. Siasatan dilakukan kerana muncul kerisauan penipuan menggunakan peranti AI boleh menjejaskan integriti peperiksaan kebangsaan.

Turut berlaku semalam, Han Won-seok yang mencatatkan markah tertinggi dalam peperiksaan perakaunan cukai bertauliah kebangsaan telah mengaku menipu dengan menggunakan kamera kecil, telefon bimbit, dan alat AI. Beliau berjaya mencapai 397.5 daripada 400 markah dengan hanya satu kesalahan daripada 160 soalan yang dijawab.
Menjelang Peperiksaan Kemasukan Universiti (CSAT) yang akan berlangsung minggu ini, pihak berkuasa akan mula memeriksa calon bagi mengesan peranti yang mempunyai keupayaan AI, menimbang penggunaan kamera termal untuk mengesan peranti terlarang dan menempatkan kakitangan khas di pusat peperiksaan bagi mengesan peranti yang digunakan untuk menipu.
Selain itu pihak polis dan agensi penyiasatan akan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes yang melibatkan kaedah penipuan baharu atau sindiket terancang serta mengesan individu atau kumpulan yang menjadi dalang skim penipuan.
Akhir sekali kerajaan juga mengkaji untuk memantau pengedaran kamera mini dan peralatan lain yang boleh digunakan untuk menipu dan kaedah untuk menggalakkan orang ramai melaporkan kes penipuan.
Sumber – UPI