Ulasan Samsung Galaxy Tab S12 Ultra – Tablet Merangkap Komputer Riba
Tablet ialah komputer pertama anak saya dan kini dia sudah semakin besar di inginkan sebuah “komputer riba”. Kerana sudah lama menggunakan tablet, beliau lebih selesa dengan Android berbanding Windows dan macOS. Samsung Galaxy Tab S12 Ultra ialah tablet yang mengisi keperluan insan seperti anak saya. Ini ulasan untuk Samsung Galaxy Tab S12 Ultra.
Spesifikasi
| Samsung Galaxy Tab S12 Ultra | |
| Skrin | 14.6″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+, S Pen |
| Pemproses | Dimensity 9500 (3nm) |
| Cip | 1x 4.21GHz C1 Ultra 3x 3.5GHz C1 Premium 4x 2.7GHz C1 Pro |
| Cip Grafik | Mali-G1 Ultra MC12 |
| RAM | 12GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 256 GB UFS 4.0 Micro SD 2TB |
| Kamera Utama | 13MP f/2.0 (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Lebar) |
| Kamera Swafoto | 12MP f/2.4 |
| Bateri | 11,600 mAh Pengecasan berwayar 45W |
| SIM/Telefoni | 1 Nano, 1 eSIM 5G |
| NFC | Tiada |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari bawah skrin |
| Harga Jualan | RM 5999 (Wi-Fi) RM 6649 (5G) |
Galaxy Tab S12 Ultra hadir dengan skrin 14.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz, sokongan HDR10+ dan juga stylus S-Pen. Dengan sokongan S Pen, kandungan boleh dilakar atau dicatit terus pada permukaan skrin seperti pada siri Galaxy S Ultra. Panel menyokong paparan kandungan HDR10+ dalam pelbagai aplikasi penstriman popular. Sebuah pengimbas cap jari bawah skrin juga disertakan bagi yang memerlukan sistem biometri yang lebih selamat.

S Pen yang diberikan pula lebih besar untuk memudahkan ia dipegang serta melekap pada sisi dengan menggunakan magnet. Tiada lagi sistem simpanan pada panel belakang seperti Tab S10 sebelum ini. Saya harus nyatakan sistem tempat simpanan belakang adalah lebih menarik kerana kerangka yang diberikan menutup S Pen membuatkan ia lebih sukar tercicir.
Tablet dikuasakan oleh cip Dimensity 9500, memori 12GB RAM dan storan hanya 256GB. Storan memang agak kerdil tetapi storan boleh ditambah menggunakan kad micro SD sehingga 2TB. Krisis RAM dan memori menyebabkan penawaran Tab S12 di Malaysia adalah sangat terhad. Cip Dimensity 9500 adalah dalam kelas sama dengan Snapdragon 8 Gen 5 dan Apple A19 Pro. Maka tak perlu risau mengenai prestasi menjalankan aplikasi lazim, permua atau aplikasi kreatif.

Bateri pula sebesar 11,600 mAh dengan pengecasan adalah sehingga 45W secara berwayar sahaja. Pengecasan yang agak perlahan untuk sebuah tablet tetapi Samsung tidak terkenal dengan sistem pengecasan lebih berkuasa. Samsung juga tidak menyertakan pengecas dengan setiap pembelian.
Kamera utama adalah sudut lebar 13MP dan ultra lebar 8MP di belakang dan 12MP di hadapan. Sebuah flash turut disertakan di bahagian belakang. Spesifikasi kamera yang agak rendah tetapi tablet jarang sekali mempunyai kamera sebaik telefon pintar mercu.

Keseluruhan bingkai dan tubuh Tab S12 Ultra diperbuat daripada aluminium. Tubuh adalah hanya setebal sekitar 5mm yang menjadikannya antara tablet nipis di pasaran. Empat speaker diletakkan pada bahagian sisi menyokong sistem audio stereo. Butang laras audio dan kuasa diperbuat daripada logam diletakkan pada bahagian atas. Keseluruhan tubuh melepasi piawaian IP68 maka tak perlu risau sekiranya air tertumpah ke atasnya.

Dengan skrin 16:10 pada kedua-dua model, tablet lebih selesa digunakan dalam kedudukan landskap. Dalam kedudukan potret tablet terasa lebih panjang jika dibandingkan dengan iPad atau Xiaomi Pad yang menggunakan skrin 4:3. Ini mungkin kerana Samsung ingin memberikan lebih ruang bekerja dalam kedudukan landskap. Skrin ini juga menjadikan kedua-dua tablet sangat sesuai untuk menonton kandungan video.
Antaramuka
Sistem operasi One UI 9 berasaskan Android 17 digunakan di sini,. Maka dari segi kemampuan dan ciri ia sama dengan sir Z Fold8 yang baru sahaja dilancarkan. Ada pelbagai kemampuan AI seperti melakukan suntingan gambar, melakukan rumusan dokumen dan Creative Studio menjana imej.

Sokongan DeX juga kembali dengan dengan hanya satu butang, antaramuka lebih mirip seperti komputer riba boleh diakses. Apabila aksesori papan kekunci digunakan pelbagai lagi akses pantas boleh digunakan. Butang AI terbina membolehkan Bixby, Gemini atau Perplexity dilancarkan dengan pantas. Pintasan untuk tiga aplikasi paling kerap digunakan, talam aplikasi, audio dan keterangan skrin.

Samsung menawarkan aksesori Pro Keyboard yang diperbuat daripada logam. Aksesori ini mempunyai pad sesentuh tambahan dan papan kekunci berlampu. Dengan Pro Keyboard, Tab S12 Ultra dan Tab S12+ nampak serupa seperti sebuah komputer riba ultra nipis. Ia walau bagaimanapun harus dibeli secara berasingan. Samsung memberikan sebuah papan kekunci Book Cover yang diperbuat daripada bahan plastik dengan setiap pembelian.

Semua aksesori papan kekunci disambung menggunakan palam pogo maka tak perlu risau kehabisan bateri seperti papan kekunci bluetooth. Selain tubuh logam, Pro Keyboard berbeza dengan Book Cover kerana ia dilengkapi pad sesentuh serta sistem lampu. Lampu mempunyai empat tahap keterangan dengan ia diubah menggunakan butang khas.

Samsung memberikan langganan percuma Google AI Pro selama 6 bulan dengan setiap pembelian suapaya pelbagai ciri AI di bawah payung Google seperti Gemini Intelligence dan Gemini Notebook boleh digunakan dengan keupayaan lebih tinggi. Selain itu langganan percuma Adobe Photoshop selama empat bulan turut diberikan.
Samsung memberikan sokongan 7 versi Android dan tampalan sekuriti selama 7 tahun pada kedua-dua Tab S12 Ultra dan Tab S12+ bagi memberikan penggunaan jangka panjang dengan lebih selamat

Prestasi
Cip Dimensity 9500 dipadankan dengan 12GB RAM dan storan 256GB yang boleh ditambah menggunakan kad micro SD sehingga 2TB. RAM juga boleh ditambah sebanyak 12GB lagi secara maya menggunakan RAM Plus. Berikut ialah markah penandas aras S12 Ultra dengan beberapa telefon pintar mercu di pasaran.
- Vivo X500 Pro Max (Dimensity 9600 Pro)
- Oppo Find X10 Pro Max (Dimensity 9600 Pro)
- Apple iPhone 18 Pro (A20 Pro)
- Poco F9 Ultra (Snapdragon 8 Elite Gen 5)
- Samsung Galaxy Z Flip8 (Exynos 2600)
- Google Pixel 11 Pro Fold (Tensor G6)
- Samsung Galaxy S26 Ultra (Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy)
- Apple iPhone 17 Pro (A19 Pro)
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Samsung Galaxy S12 Ultra | 2,737,009 |
| Vivo X500 Pro Max | 2,963,466 |
| Oppo Find X10 Pro Max | 3,846,228 |
| Apple iPhone 18 Pro | 3,517,879 |
| Poco F9 Ultra | 4,077,407 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 2,463,934 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1,212,510 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |

Geekbench 7
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Samsung Galaxy S12 Ultra | 2658 | 8874 |
| Vivo X500 Pro Max | 2010 | 6526 |
| Oppo Find X10 Pro Max | 2546 | 9175 |
| Apple iPhone 18 Pro | 3999 | 11338 |
| Poco F9 Ultra | 2037 | 7914 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 1923 | 5091 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1764 | 4688 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |

3DMark Wildlife Extreme
| Peranti | Skor |
| Samsung Galaxy S12 Ultra | 5728 |
| Vivo X500 Pro Max | 3184 |
| Oppo Find X10 Pro Max | 6943 |
| Apple iPhone 18 Pro | 7843 |
| Poco F9 Ultra | 7353 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 4099 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 3318 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |

Prestasi Tab S12 Ultra adalah amat memuaskan kerana cip berkuasa, memori yang besar dan storan yang pantas. Proses memuat turun dan memasang aplikasi adalah pantas setanding dengan telefon pintar mercu lain di pasaran. Dimensity 9500 boleh menjalankan pelbagai aplikasi lazim dan permainan dengan amat lancar. Tab S12 Ultra cukup berkuasa untuk dijadikan sebuah konsol mudah alih. Permua mercu boleh dijalankan pada tetapan tinggi. Saya juga boleh menjalankan pelbagai permaian klasik menggunakan aplikasi emulator popular.
Kamera
Kamera ialah satu kekurangan ketara tablet ini kerana 12MP ialah saiz yang kecil untuk peranti tahun 2026. Hasilnya gambar yang tidak tajam, kurang bermaya warnanya dan hanya nampak elok dalam situasi pencahayaan yang baik. Tetapi tablet semuanya mempunyai isu yang sama keran fotografi bukan keutamaan ia dibeli.




Bateri
Bateri boleh bertahan sehingga 13 jam dalam penggunaan biasa serta keterangan skrin juga pada tetapan pertengahan. Hayat yang memuaskan untuk sebuah tablet bersaiz besar. Bateri 11,600 mAh yang digunakan boleh dicas semula dalam masa sekitar 90 minit menggunakan pengecas 45W. Harus diingatkan pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy Tab S12 Ultra
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C
- 1x S Pen
- 1x Samsung Book Cover
- 1x Manual
- 1x Pin SIM
Kesimpulan
Samsung Galaxy Tab S12 Ultra adalah tablet berkuasa yang bukan sahaja serasi digunakan untuk menikmati media tetapi juga untuk sesi permainan video, dan suntingan video tetapi juga platform yang boleh diandalkan untuk menghasilkan karya digital terus daripada skrin menerusi bantuan S Pen. Perisian yang digunakan juga menawarkan pengalaman penggunaan yang lancar lengkap dengan sokongan perisian selama 7+7 tahun.

Skrin besar bukan sahaja menjadi kanvas besar untuk penghasilan karya digital, tetapi juga untuk menikmati kandungan video pernstriman dan juga menjadikannya sebuah konsol permua kelas mercu. Baterinya yang besa juga memastikan S12 Ultra boleh digunakan sepanjang hari. Samsung juga tidak lokek memberikan terus aksesori papan kekunci dengan setiap pembelian.
Di Malaysia tablet ditawarkan dengan langganan Gemini, Adobe Photoshop, Notability dan iQIYI bernilai RM 1,123.58. Turut diberikan percuma ialah aksesori Book Cover Keyboard dan S Pen bernilai RM 1,208.
Pro
- Spesifikasi kelas mercu.
- Pemproses berkuasa.
- Sokongan kad Micro SD.
- Saiz bateri yang besar. Tahan lama
- Sokongan S Pen
- Kalis air IP68
- Sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.
- S Pen dan papan kekunci diberikan percuma,
Kontra
- Storan 256GB agak kecil.
- Skrin 16:10 lebih selesa digunakan mendatar.
- Sudut skrin pada Pro Keyboard dan Book Cover tidak boleh diubah.
