TSMC Mengesahkan Ketirisan Data Peribadi Para Pekerja Mereka
Nazrin
TSMC baru-baru ini telah melaporkan bahawa data peribadi para pekerja mereka telah tertiris dan kini sedang cuba untuk dijual di arena web gelap seperti BreachForums dan DarkForums untuk jumlah wang yang cukup tinggi sekali.
TSMC juga mengesahkan bahawa sebanyak 46 ribu rekod pekerja dengan fail saiz 6.9GB sedang dilelong untuk 3 Bitcoin ~RM265 ribu), dimana 499 rekod telah didedahkan untuk mengesahkan ketulenan data yang telah dicuri. Sekiranya tiada pembayaran dibuat untuk data ini, ia akan didedahkan secara percuma selepas seminggu ketirisan data ini diumumkan.

Melihat kepada data yang sudahpun didedahkan, butiran peribadi yang dicuri termasuklah nama, tarikh lahir, jawatan, nombor ID kebangsaan, alamat rumah, nombor telefon, e-mel, butiran bank dan kenalan kecemasan.
TSMC juga mengesahkan bahawa data yang tertiris tersebut tidak datang dari pengkalan data dalaman mereka sendiri, tetapi melalui platform perkhidmatan awanan pihak ketiga yang memegang data tersebut kerana butiran yang tertiris adalah sama seperti data yang dipegang oleh syarikat tersebut. Buat masa ini, syarikat perkhidmatan awanan tersebut belum dinamakan lagi.
Mereka juga mengatakan bahawa sistem dalaman mereka selamat, tetapi ini bukanlah kali pertama TSMC menghadapi isu ketirisan data dan godaman. Sebelum ini mereka telah menghadapi isu dimana virus telah menyebabkan peralatan kilang tidak boleh digunakan, isu dengan perisian tebusan dan juga masalah dimana bekas pekerja syarikat telah melarikan data proses 2nm.
Sumber: United Daily News