Kerajaan Menguji Sistem Keselamatan Pintar Untuk Warga Emas Yang Tinggal Bersendirian
Amy Maizuraa
Keselamatan warga emas yang tinggal bersendirian semakin menjadi cabaran dalam masyarakat yang kian menua. Justeru itu, kerajaan kini menguji penggunaan teknologi pintar bagi memantau keselamatan golongan tersebut menerusi sebuah projek rintis yang akan bermula di Razak Mansion, Kuala Lumpur.

Inisiatif yang diterajui Kementerian Komunikasi menerusi SKMM dengan kerjasama JWP itu memperlihatkan bagaimana teknologi Internet Benda (IoT) mula digunakan bagi menangani cabaran keselamatan yang semakin ketara dalam kalangan warga emas yang tinggal bersendirian. Sistem tersebut direka untuk mengesan situasi kecemasan seperti terjatuh, pergerakan luar biasa atau ketiadaan pergerakan dalam tempoh tertentu sebelum notifikasi dihantar kepada penjaga dan pihak pengurusan bangunan.

Berbeza daripada pendekatan yang bergantung kepada kamera pemantauan, sistem ini menggunakan pengesan haba badan dan kehadiran penghuni bagi memastikan keselamatan dapat dipantau tanpa menganggu privasi. Pendekatan tersebut mencerminkan usaha untuk memanfaatkan teknologi sebagai alat sokongan kepada warga emas dan bukannya kaedah pengawasan yang mengganggu kehidupan harian mereka.

Meskipun masih di peringkat ujian rintis, inisiatif ini memperlihatkan bagaimana teknologi semakin dimanfaatkan untuk menangani cabaran sosial yang muncul dalam masyarakat yang semakin menua. Dalam konteks tersebut, teknologi bukan lagi sekadar alat komunikasi atau hiburan tetapi turut berperanan sebagai alat bantuan yang membantu warga emas menjalani kehidupan secara lebih selamat.
Sumber : Kementerian Komunikasi