Kamera Sigma FP2 Disenaraikan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM9,288
Semakan kami menerusi laman web rasmi mendapati kamera baharu Sigma FP2 kini telah disenaraikan untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan model terkini dalam siri kamera bingkai penuh Sigma FP yang memfokuskan penggunaan hibrid untuk penghasilan gambar dan video.

Sigma FP2 dilengkapi sensor CMOS 24.5MP bingkai penuh (full-frame) dengan sistem L-Mount dalam badan kamera yang ringan. Ia turut menawarkan rakaman berterusan sehingga 20 bingkai sesaat, sistem autofokus pintar dan storan dalaman 70GB untuk penyimpanan imej dan video. Bagi video, Sigma fp2 menyokong rakaman 6K Open Gate, 12-bit ProRes RAW terus ke storan SSD, audio 32-bit float serta julat dinamik sehingga 14.1 hentian. Turut disertakan ialah sistem Dual Base ISO yang membantu mengekalkan kualiti imej dan video dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Bagi mereka yang berminat, Sigma fp2 kini dibuka untuk pratempahan di Malaysia pada harga bermula RM9,288 bagi badan kamera sahaja. Sigma turut menawarkan pakej bersama lensa Sigma 50mm F2 DG DN | Contemporary atau pemidang tilik elektronik EVF-21 pada harga RM11,888.