Leica M-A Dan M11-P Edisi Terhad Hammertone Kini Di Malaysia – Harga Bermula RM31,520
Amy Maizuraa
Leica memperkenalkan Leica M11-P Hammertone dan Leica M-A Hammertone sebagai dua edisi khas baharu yang menampilkan kemasan Hammertone ikonik.


Kedua-dua model ini hadir dengan balutan kulit hitam, tulisan berwarna putih dan butang kawalan berkemasan perak yang memberikan penampilan lebih eksklusif berbanding varian standard. Leica turut menyatakan bahawa setiap unit menampilkan corak kemasan Hammertone yang unik. Perbezaan kecil pada kemasan tersebut menjadikan setiap kamera mempunyai identiti tersendiri walaupun berkongsi reka bentuk yang sama.


Dari segi spesifikasi, kedua-dua model ini mengekalkan ciri yang sama seperti versi standard masing-masing. Leica M11-P Hammertone dilengkapi sensor bingkai penuh 60MP dan storan dalaman 256GB, sementara itu Leica M-A Hammertone pula kekal sebagai kamera filem mekanikal sepenuhnya. Oleh itu, fokus utama edisi ini lebih tertumpu kepada reka bentuk dan kemasan luaran berbanding peningkatan spesifikasi.


Di Malaysia, Leica M11-P Hammertone dijual pada harga RM47,040, manakala Leica M-A Hammertone berharga RM31,520. Kedua-dua model ini tersedia menerusi pengedar rasmi Leica.