Kerusi Gaming Razer Soma Pro Dengan Sistem Getaran Haptik Diperkenalkan Pada Harga RM4499
Nazrin
Razer telah memperkenalkan kerusi gaming terbaru mereka yang dinamakan Razer Soma Pro yang merupakan sebuah kerusi gaming “imersif sebenar” yang tampil bukan sahaja dengan tempat duduk yang luas dan selesa, tetapi juga beberapa ciri-ciri lain yang hanya diperlihatkan pada hanya sejumlah kecil kerusi gaming lain, dan lazimnya pada kerusi panggung wayang tertentu.

Bermula dengan tempat duduk, Razer Soma Pro tampil dengan tempat duduk dan rehat belakang menggunakan kusyen yang dinamakan Dual Density Cold-Cured Foam Seat Cushion yang memberi pengguna tempat duduk yang lebih empuk dan selesa. Kelebihan menggunakan bahan kusyen cold-cured foam ini juga ialah ia tahan jauh lebih lama berbanding penggunaan span yang biasa.

Kerusi ini juga tampil dengan sokongan lumbar ataupun tulang belakang yang lebih ergonomik yang memastikan bahawa kedudukan belakang kerusi adalah bersesuaian dengan keselesaan anda sendiri, sambil memastikan bahawa anda tidak mengalami isu sakit belakang apabila duduk gaming untuk satu jangka-masa yang lama. Bukan itu sahaja, kerusi ini juga boleh dibaringkan pada kedudukan 132 darjah dari kedudukan tegak sekiranya anda mahu baring untuk seketika.

Dua ciri yang jarang sekali diperlihatkan pada kerusi gaming yang diperlihatkan pada Razer Soma Pro ialah fungsi getaran multi-zone haptic feedback dan juga dua pembesar suara yang dipasang pada bahu kiri dan kanan kerusi ini.
Fungsi multi-zone haptic feedback menggunakan algoritma terbina untuk memberi tindakbalas getaran pada kerusi bergantung kepada permainan yang dimainkan dan juga apa yang sedang berlaku dalam permainan untuk pengalaman gaming yang jauh lebih mendalam. Ini digabungkan dengan pembesar suara terbina yang boleh digabungkan dengan pembesar suara sedia ada untuk memberi anda kualiti audio sekeliling yang tiada bandingannya.

Razer Soma Pro juga bukanlah produk Razer jika ia tidak tampil dengan sistem pencahayaan RGB tersendiri. Razer mengatakan bahawa melalui perisian Razer Synapse, sistem pencahayaan kerusi ini boleh diselarikan dengan 300 tajuk permainan popular sedia ada seperti Overwatch, Fortnite, Dota 2 dan sebagainya.

Dari segi sambungan kuasa pula, Razer Soma Pro menariknya hanya memerlukan sambungan kabel USB Type-C yang boleh disambungkan ke penyesuai kuasa dari soket dinding, ataupun dikuasakan oleh komputer anda sekiranya anda tahu bahawa kerusi anda tidak akan bergerak dengan banyak.
Razer mengatakan bahawa kerusi gaming ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran Malaysia melalui kedai-kedai pengedar kelengkapan gaming Razer pada harga RM4499.
Sumber: Razer