Amerika Syarikat Akan Sekat China Mengakses Cip AI Terkini Menerusi Pusat Data Di Malaysia
Effi Saharudin
Dua minggu lalu kami terbitkan laporan 2 daripada 10 pusat data kecerdasan buatan (AI) paling berkuasa di dunia terletak di Johor. Dalam senarai 40 pusat data AI paling berkuasa pula 4 daripadanya terletak di Johor dengan baki 36 lagi semuanya di Amerika Syarikat. Ini membawakan persoalan mengapa Malaysia mempunyai kuasa perkomputeran AI yang besar walaupun tidak mempunyai syarikat AI tempatan yang terkemuka?
Jawapannya ialah pusat data AI Malaysia menawarkan perkhidmatan awanan kepada syarikat luar seperti di China yang disekat akses kepada cip terkini. Tetapi kini Amerika Syarikat akan mengenakan sekatan baharu yang menghalang China daripada menggunakan perkhidmatan pusat data AI awanan di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brazil.

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat akan memerlukan lesen khas kepada syarikat yang ingin mengimport cip AI terkini ke lima negara ini. Peraturan ini direka untuk memastikan bahawa sekatan sedia ada ke atas akses kepada teknologi sensitif Amerika tidak boleh dielakkan melalui perkomputeran jarak jauh yang melibatkan pusat data di negara ketiga.
Peraturan ini mewajibkan pusat data luar negara yang menyediakan sejumlah besar kuasa pengkomputeran kepada syarikat yang beribu pejabat di China untuk mendapatkan lesen eksport Amerika dalam tempoh 90 hari untuk meneruskan perkhidmatan atau menghadapi sekatan eksport pada masa hadapan.
Keperluan lesen ini walau bagaimanapun tidak terpakai kepada sistem yang digunakan oleh laman edagang dan syarikat media sosial, yang tidak menimbulkan isu keselamatan negara.