Sebab Microsoft 365 Tergendala Minggu Lalu Kini Diketahui
Effi Saharudin
Microsoft mendedahkan punca perkhidmatan Microsoft 365 tergendala pada 12-13 November lalu akhirnya didedahkan. Seperti dijelaskan dalam laporan awal ia tidak disebabkan oleh serangan siber, penggodam atau kegagalan sistem kecerdasan buatan. Sebaliknya ia disebabkan oleh tiga faktor yang saling berhubungan antara satu sama lain.
Pertama sekali ia bermula dengan pepijat pada Windows Server yang berlaku selepas kemas kini Windows pada Julai 2026 kepada pelayan gerbang rangkaian Microsoft 365. Dalam beban kerja tertentu, berlaku perebutan dalam proses dalaman Windows sehingga penggunaan CPU dan memori melonjak menyebabkan pelayan menjadi tidak responsif.

Seterusnya berlaku peningkatan trafik Microsoft Teams kira-kira 15 jam sebelum gangguan. Trafik Teams dialihkan ke gerbang utama yang turut digunakan oleh Exchange Online. Ini seterusnya meningkatkan tekanan pada infrastruktur yang sudah terjejas.
Akhir sekali faktor ketiga ialah kapasiti pelayan telah berkurangan. Kira-kira 14% kapasiti pelayan sudah tidak tersedia akibat isu Microsoft Teams sehari sebelumnya. Ini mengurangkan keupayaan sistem untuk menyerap lonjakan trafik.
Rantaian kegagalan ini menyebabkan sistem pengurusan trafik Microsoft mengalihkan beban ke pelayan lain. Pelayan yang masih beroperasi menerima bebanan berlebihan dan turut gagal. Dalam masa sekitar dua jam sahaja, lebih 80% pelayan gerbang rangkaian terhenti atau menjadi tidak responsif. Mekanisme perlindungan antara rantau gagal menghalang gangguan daripada merebak secara global.
Bagi mengelakkan insiden daripada berulang lagi, Microsoft menyatakan mereka telah menambah kapasiti infrastruktur, memperkukuhkan pemantauan sistem, menambah perlindungan terhadap kegagalan berantai, membersihkan semua e-mel yang tertangguh dan memperbaiki kod pengendalian sambungan yang menjadi punca masalah.