Fungsi Data Bank Baharu Klook Membenarkan Pengguna Simpan Dan Kongsi Baki Data eSIM
Amy Maizuraa
Klook memperkenalkan Data Bank iaitu ciri baharu yang membolehkan baki data eSIM tidak digunakan disimpan untuk kegunaan perjalanan seterusnya. Data yang berbaki tidak akan hangus selepas pelan tamat tempoh dan akan disimpan secara automatik dalam akaun pengguna untuk digunakan semula pada tempahan eSIM Klook akan datang.

Menariknya, baki data yang disimpan bukan sahaja boleh digunakan untuk perjalanan sendiri malah boleh diberikan kepada kenalan yang mempunyai akaun Klook. Pengguna hanya perlu menjana pautan melalui aplikasi sebelum data tersebut dipindahkan kepada penerima. Bergantung pada jenis pelan yang dilanggan, sebahagian daripada data yang tidak digunakan akan disimpan ke dalam Data Bank dan boleh digunakan semula untuk perjalanan akan datang.

Terdapat beberapa syarat untuk menggunakan ciri ini. Pengguna perlu membeli dan mengaktifkan pelan eSIM yang layak, manakala pelan eSIM percuma serta beberapa destinasi tertentu tidak termasuk dalam program ini. Data yang disimpan sah selama 180 hari dan akan diperbaharui setiap kali pengguna menerima data baharu. Bagaimanapun, data yang telah tamat tempoh tidak boleh dipulihkan. Selain itu, baki data yang disimpan turut boleh digunakan untuk perjalanan ke destinasi lain.
Bersempena pelancaran Data Bank, Klook turut menawarkan data percuma antara 0.5GB hingga 50GB kepada pengguna yang layak.
Sumber: Data Bank