NVIDIA Memperkenalkan Rubin HPC – Hadir Dengan 50 Ribu Teras CUDA Terbina
Nazrin
Berita terbesar mengenai NVIDIA kebelakangan ini mungkin tentang pemergian pengasas, CEO dan presiden syarikat, Jensen Huang dari syarikat tersebut, tetapi dari aspek perniagaan, kelansungan syarikat perlu diteruskan, dan dengan itu, telah memperkenalkan produk terbaru mereka untuk industri pusat data, iaitu komponen “kad grafik” Rubin HPC atau High Performance Computing.
Secara ringkasnya, komponen High Performance Computing memberi syarikat dan perniagaan kuasa pemprosesan berkelajuan tinggi, rangkaian berprestasi tinggi, dan kapasiti memori yang besar yang membolehkan pelaksanaan pemprosesan selari pada skala gergasi.

NVIDIA mengatakan bahawa Rubin HPC khususnya membolehkan pelbagai perniagaan dan institusi penyelidikan dan individu-individu seperti saintis, jurutera dan penganalisa pasaran untuk mempercepatkan tugasan pemprosesan data bersaiz besar melalui rangka kerja agentik menggunakan teknologi kecerdasan buatan.
NVIDIA mengatakan bahawa saintis dan jurutera khususnya menggunakan data simulasi untuk memahami sistem kompleks dan merumuskan data sebelum membuat keputusan untuk menggunakan data tersebut untuk menjalankan eksperimen dan projek ujikaji ataupun pembangunan prototaip produk dan solusi.
Untuk mempercepatkan proses pemprosesan data dan pembangunan simulasi, penggunaan supercomputer kini dilihat semakin meluas untuk membolehkan jurutera dan penyelidik menguji idea-idea dan inferens yang berbeza dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat berbanding sebelum ini.

Untuk membantu dengan proses ini, NVIDIA Rubin HPC diperkenalkan dan dilihat merumahkan lebih dari 50 ribu teras CUDA didalam satu komponen kad grafik, yang merumahkan jumlah terbesar teras-teras tersebut untuk masa ini. Sebagai perbandingan, setiap satu NVIDIA RTX Pro 6000 yang dikuasakan cip NVIDIA Blackwell hadir dengan 24,064 ke 24,576 teras CUDA, manakala NVIDIA GeForce RTX 5090 pula merumahkan sebanyak 21,760 teras CUDA.
Satu lagi butiran yang diperlihatkan ialah penggunaan teknologi sambungan dan penghantaran data NVLink generasi ketujuh atau NVLink 7 yang dikatakan jauh lebih pantas berbanding dengan apa yang ditawarkan oleh teknologi NVLink 6 sedia ada.
NVIDIA tidak mendedahkan butiran lain berkenaan Rubin HPC ini, seperti jenis, jumlah dan kelajuan memori yang akan digunakan. Ini dilihat mungkin kerana buat masa ini mereka masih belum mengesahkan spesifikasi komponen-komponen tersebut, kerana pemecut AI ini hanya akan ditawarkan bermula tahun 2028 kelak. Keberangkaliannya ialah ia akan diperlihatkan sewaktu CES ataupun acara NVIDIA GPC 2028.
Sumber: NVIDIA