Siri Oppo Reno17 Rasmi Dengan Cip Dimensity 8550 SUPER Dan Kamera 200MP
Amy Maizuraa
Oppo melancarkan Reno17 Pro dan Reno17 sebagai model baharu dalam siri berkenaan. Kedua-duanya masih mengekalkan fokus terhadap reka bentuk premium, sistem kamera dan ciri AI yang menjadi identiti siri Reno.

Oppo Reno17 Pro menggunakan skrin AMOLED 6.32 inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz serta kecerahan puncak 1,800 nits. Ini dipadankan dengan cip MediaTek Dimensity 8550 SUPER bersama memori sehingga 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 512GB. Ia juga menjalankan ColorOS 17 yang menawarkan pelbagai ciri pintar serta penyesuaian sistem yang lebih menyeluruh.

Kamera peranti pula terdiri daripada sensor utama 200MP dengan OIS, ultra-lebar 50MP dan telefoto 50MP yang menyokong zum optikal sehingga 3.5X, di samping kamera swafoto 50MP dengan autofokus. Melengkapkan pakej peranti ialah bateri 7,250mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W serta ciri tambahan seperti NFC, Wi‑Fi 6, Bluetooth 5.4, IR Blaster dan pengimbas cap jari bawah skrin.

Oppo Reno17 pula menggunakan skrin AMOLED 6.56 inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz serta kecerahan puncak sehingga 1,800 nits. Ia dijana oleh cip Snapdragon 7 Gen 4 bersama memori sehingga 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 1TB. Seperti model Pro, peranti ini turut menjalankan ColorOS 17 yang menawarkan pelbagai ciri berasaskan AI serta penyesuaian sistem terkini.

Turut melengkapi peranti ini ialah kamera utama 50MP (OIS), ultra-lebar 50MP dan telefoto 50MP dengan sokongan zum optikal 3.5X serta zum digital 120X. Kamera swafoto 50MP dengan autofokus turut disertakan. Ia juga dilengkapi bateri 8,000mAh dengan pengecasan pantas 80W, NFC, Wi‑Fi 6, Bluetooth 5.4, IR blaster dan pengimbas cap jari bawah skrin.
Di China, Oppo Reno17 ditawarkan pada harga bermula RMB 3,599 (~RM 2,206) sehingga RMB 4,899 (~RM 3,004) untuk varian 12GB + 1TB. Sementara itu, Oppo Reno17 Pro pula dijual pada harga bermula RMB 4,199 (~RM 2,574) hingga RMB 4,999 (~RM 3,065) bergantung kepada konfigurasi memori dan storan.