Xiaomi Watch S5 (41mm) Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula RM799
Amy Maizuraa
Xiaomi Watch S5 41mm turut dilancarkan sebentar tadi sebagai jam tangan pintar nipis yang menggabungkan rekaan premium dengan pelbagai ciri pemantauan kesihatan yang lebih menyeluruh.

Jam tangan ini menggunakan badan keluli tahan karat setebal 9.9mm dengan berat sekitar 36 gram. Ia dipadankan dengan paparan AMOLED 1.32 inci beresolusi 466 × 466 piksel serta kecerahan puncak sehingga 3,000 nits untuk paparan yang lebih jelas di bawah cahaya matahari.


Watch S5 41mm menjalankan HyperOS 4 yang menawarkan pelbagai paparan muka jam baharu serta pusat kawalan pintar yang dipertingkatkan. Ia juga dilengkapi pelbagai sensor untuk memantau kadar denyutan jantung, tahap oksigen dalam darah, tekanan, suhu kulit, kualiti tidur serta penjejakan kitaran haid. Xiaomi turut menyertakan lebih 150 mod sukan, sokongan lima sistem satelit GNSS, peta luar talian, navigasi laluan serta mod renang.

Bateri 590mAh yang digunakan mampu bertahan sehingga 14 hari dalam mod penggunaan ringan atau sehingga lapan hari bagi kegunaan harian biasa. Ia juga menyokong NFC, kawalan kamera, kawalan muzik dan fungsi pencari telefon. Bagi yang berminat, Watch S5 41mm ditawarkan di Malaysia pada harga RM899 dengan harga promosi serendah RM799 untuk tempoh terhad.