Xiaomi Clip Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga Bermula RM599
Amy Maizuraa
Xiaomi Clip merupakan fon telinga terbuka yang direka untuk keselesaan penggunaan harian. Reka bentuk klip yang digunakan membantu memastikan ia kekal selesa dipakai untuk tempoh yang lama.

Setiap fon telinga seberat 5.5g dan menggunakan rekaan klip yang selesa dipakai sepanjang hari. Xiaomi turut menyertakan pemacu audio 11mm, sokongan LHDC 5.0 serta sistem empat mikrofon terbina dengan pembatalan hingar berasaskan AI untuk pengalaman audio dan kualiti panggilan yang lebih baik. Fon telinga ini juga membolehkan pengguna mendengar persekitaran sambil mengurangkan kebocoran bunyi kepada individu di sekeliling.



Xiaomi Clip hadir dengan ketahanan bateri sehingga sembilan jam bagi setiap cas serta sehingga 38 jam bersama pod pengecas. Ia turut menawarkan penarafan kalis air IP57, sokongan sambungan dwi-peranti, kawalan sentuhan, fungsi rakaman pintar dan Apple Find My untuk memudahkan pengguna mengesan lokasi pod pengecas apabila diperlukan.

Bagi yang berminat, Xiaomi Clip kini dijual pada harga RM699. Namun untuk tempoh terhad, orang ramai boleh mendapatkannya pada harga promosi istimewa RM599.