Perkhidmatan Apple Seperti Apple Pay, iCloud dan App Store Tergendala Pagi Tadi
Effi Saharudin
Pagi tadi giliran perkhidmatan atas talian Apple pula mengalami gangguan selepas Microsoft 365, sistem perhubungan FAA, dan perbankan Amerika Syarikat dilaporkan sejak lima hari kebelakangan ini. Antara yang dilaporkan terjejas ialah sistem Apple Pay, iCloud, App Store dan sistem pengesahan peranti Apple.

Perkhidmatan dilaporkan hanya tergendala di Amerika Syarikat sahaja sekitar jam 4 pagi tadi waktu Malaysia. Ini kini sudah kembali pulih dengan Apple mengatakan ia disebabkan oleh kemas kini dalaman yang dilakukan oleh syarikat kepada sistem yang digunakan. Mereka turut mengesahkan ia bukan disebabkan oleh serangan siber seperti spekulasi yang tular di media sosial.
Gangguan ke atas pelbagai sistem perkomputeran dan komunikasi di Amerika Syarikat menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai tahap keselamatannya. Hanya beberapa minggu lalu peti sejuk di Eropah digodam sehingga menyebabkan makanan yang disimpan rosak. Jepun pula mengisytiharkan darurat keselamatan siber selepas serangan siber yang menjejaskan lebih 20 syarikat utama di negara tersebut bulan lalu.