Ulasan Xiaomi 18 Pro Max – Unik dan Berkuasa
Tahun ini akhirnya siri Xiaomi 18 Pro dilancarkan di Malaysia dengan spesifikasi tahap mercu dan skrin sekunder di bahagian belakang. Selama in peranti dengan skrin sekunder di bahagian belakang ini hanya dipasarkan di China. Jadi adakah penantian 3 tahun untuk Xiaomi 18 Pro Max berbaloi kepada mereka yang ingin memilikinya di Malaysia?

Spesifikasi
| Xiaomi 18 Pro Max | |
| Skrin | 6.9″ LTPO AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, 400 nit 2.9″ LTPO AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, 4000 nit |
| Pemproses | Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 (2 nm) |
| Cip | 2x Prime 5.01 GHz 3x Performance 4.03 GHz 3x Performance 3.74 GHz |
| GPU | Adreno 850 |
| RAM | 12GB LPDDRR5x 12GB Memori maya |
| Storan | 256/512 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama | 200 MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 50 MP f/2.4 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.4, OIS (Telefoto 3.2X) Lensa Leica |
| Kamera Hadapan | 50 MP f/2.2 |
| Bateri | 7050 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM/5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin ultrasonik Imbasan wajah |
| Harga | RM 5,999 (12/256GB) RM 6,499 (12/512GB) |
Skrin
Skrin utama adalah sebesar 6.9″ LTPO AMOLED, 120Hzdan mempunyai keterangan maksimum 4000 nits. Ianya juga rata dengan saiz bezel yang cukup nipis membuatkan “wajah” peranti nampak seimbang. ia mengesan setiap sentuhan dengan baik dan lebih penting sekali ianya responsif. Tiada isu sukar dilihat di bawah cahaya mentari panas atau kesan ghosting.

Panel yang digunakan adalah mantap lengkap dengan sistem privasi yang menyorokkan kandungan apabila tidak ditonton pada satah yang betul. Teknologi ini adalah sama dengan pada skrin Galaxy S26 Ultra cuma Xiaomi menambah sistem pengecaman wajah. Bila peranti mengesan ada individu selain pengguna mengendap, amaran akan diberikan. Privasi boleh diaktifkan sepanjang masa, sebahagian skrin atau pada aplikasi tertentu sahaja.
Ciri ini bagus untuk privasi tetapi saya mendapati apabila diaktifkan, skrin menjadi terlalu malap untuk digunakan. Sepanjang tempoh ulasan saya mematikan ciri ini kerana kurang berguna untuk keperluan saya.

Skrin belakang pula sebesar 2.9″ LTPO OLED, sokongan 120Hz dan keterangan 4000 nit. Skrin boleh digunakan sebagai paparan swafoto menggunakan kamera utama, haiwan peliharaan maya, menunjukkan waktu, pelbagai widget, memaparkan peta, diletakkan kod Duit Now dan banyak lagi. Dengan skrin kecil ini, tidak perlu menggunakan skrin utama untuk melihat kandungan tertentu. Ini adalah mirip ciri pada skrin sekunder Z Flip8.
Skrin boleh memaparkan kandungan HDR10+ dan Dolby Vision daripada Netflix, Prime Video, HBO Max dan YouTube tanpa sebarang masalah.
Biometri

Sebuah pengimbas cap jari ultrasonik turut diletakkan di bawah skrin dengan kedudukannya strategik memudahkan proses menyahkunci peranti. Imbasan wajah juga boleh digunakan asalkan bukan dalam situasi keadaan yang terlalu gelap gelita. Dalam majoriti situasi, skrin dinyahkunci adalah amat pantas.
Rekaan
Rekaan tubuh menpunyai sisi rata dengan bucu sahaja dibulatkan. Bingkai logam selesa di dalam dan terasa kukuh. Tak perlu risau dengan kualiti binaan terasa seakan aluminium murahan di sini. Kesemua butang fizikal pada sisi kanan juga terasa teguh serta sedap dipegang.

Sementara itu pada sisi kiri terdapat “AI Button” untuk menyeru sistem AI tetapi boleh diubah untuk melakukan aksi lain seperti membisukan peranti misalnya. Di dalam tangan tubuh terasa seimbang walaupun mempunyai bonggol kamera serta skrin sekunder besar di belakang. Xiaomi tidak mengikut Apple dan Honor meletakkan butang kawalan kamera pada bahagian sisi.

Talam dwi-SIM nano diletakkan di bawah dengan ia terletak di sisi kiri port pengecasan USB-C dengan terdapat juga lubang untuk speaker di bawah. Sebuah lagi lubang speaker diletakkan pada bongol kamera dengan ia dalam bentuk alur memanjang.
Panel belakang nampak seperti logam tetapi sebenarnya polikarbonat bagi membenarkan pengecasan nirwayar. Bonggol empat segi menempatkan kamera sudut lebar 200MP, ultra lebar 50MP dan telefoto 200MP. Lensa Leica digunakan. Hanya dua lensa – sudut lebar dan telefoto – diletakkan dalam bonggol. Lensa ultra lebar yang lebih kecil diletakkan di luar. Majoriti bonggol didominasi oleh skrin sekunder 2.9″.

Pemancar infra merah juga diletakkan dalam bonggol kamera seperti Xiaomi 17. Ketinggian bonggol adalah sederhana sahaja dena dengan saiznya yang besar, membuatkan ia masih boleh diletakkan rata di atas permukaan meja. cTubuh peranti turut melepasi piawaian kalis debu serta air IP68. Maka ia memberikan ketenangan apabila digunakan di luar.

Penggunaan dan Perisian
Sistem operasi HyperOS 4 yang berasaskan Android 17. Antaramuka kali ini mempunyai rekaan seakan iOS 27 lengkap dengan elemen kaca lutsinar yang diberi nama Soft Light Glass. Jika anda kurang gemar dengan elemen ini, ia boleh dikurangkan juga sama seperti yang diberikan oleh iOS. Sama ada suka ataupun tidak, trend semasa antaramuka ialah mengambil inspirasi daripada Liquid Glass.
Turut dipinjam ialah HyperIsland yang mirip dengan Dynamic Island di iOS. Tingkap mini HyperIsland boleh memaparkan maklumat pengecasan, tahap bateri fon telinga, aktiviti secara langsung, kawalan muzik dan banyak lagi. HyperIsland mengecil apabila tidak digunakan dan menjadi lebih besar apabila ditekan dengan jari untuk mengawal muzik yang sedang dimainkan misalnya.

Skrin kunci boleh diperibadikan dengan elemen yang berinteraksi dengan gambar yang digunakan. Ini ciri yang sudahpun diberikan sebelum ini menerusi HyperOS 3. Tumpuan pada HyperOS 4 ialah meningkatkan kelancaran dan waktu tindak balas. Dapat dirasakan animasi yang lancar dan aplikasi dilancarkan lebih pantas.
Kepada pengguna ekosistem Apple, perisian Xiaomi Interconnectivity membolehkan sokongan pemindahan fail rentas ekosistem, memaparkan Xiaomi 18 Pro Max pada skrin MacBook dan menyahkunci telefon menggunakan Touch ID. Ini adalah kesinambungan kepada sistem yang diperkenalkan tahun lalu. Penghantaran fail menggunakan AirDrop menerusi Quick Share juga disokong secara terbina sekiranya anda tidak mahu memasang Xiaomi Interconnectivity pada peranti Apple yang dimiliki.

Menjadi standard sekarang, Circle to Search dan Google Gemini boleh digunakan. Xiaomi HyperAI pula boleh melakukan alih bahasa secara masa nyata, suntingan gambar, membesarkan gambar, ringkasan dokumen, menghasilkan transkrip daripada audio yang dirakam, dan menjana sari kata untuk video secara automatik.
Skrin Sekunder
Mari sentuh sedikit mengenai skrin sekunder kerana ia adalah ciri unik tiada pada peranti Xiaomi di pasaran Malaysia sebelum ini. Ia boleh memaparkan jam, pemain muzik, kalender dan ciri Live Update yang disokong aplikasi tertentu. Imej latar boleh diperibadikan dengan gambar disediakan HyperOS atau pilihan sendiri. Antara ciri yang ditunjukkan ialah memaparkan kod DuitNow yang senang dimbas bagi menerima wang.

Gemini, Google Maps, aplikasi cuaca, haiwan peliharaan maya dan banyak lagi turut boleh dipaparkan pada skrin ini. Satu ciri yang tidak pernah dilihat pada sebarang peranti ialah memaparkan aplikasi janaan AI pada skrin. Masukkan prom seperti “buat satu permainan 8-bit platformer” dan AI akan menjana permainan mini yang boleh dimainkan. Pengguna bebas membangunkan widget tersendiri bergantung kepada kreativiti mereka sendiri. Secara peribadi, saya gunakan skrin ini untuk memaparkan nota barang dapur perlu dibeli yang dihantar oleh isteri.

Xiaomi 18 Pro Ma akan menerima sokongan kemas kini 5 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti yang saya rasakan memadai untuk kebanyakan pengguna walaupun tidak sebaik diberikan Samsung, Google dan Oppo pada peranti mercu mereka.
Penanda Aras
Cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 dipadakan dengan memori 12GB LPDDR5X dan storan sehingga 512GB UFS 4.1. Xiaomi 18 Pro Max ialah yang pertama di Malaysia dengan cip ini. Oleh itu saya bandingkan peranti ini dengan beberapa peranti mercu lain di bawah.
- Vivo X500 Pro Max (Dimensity 9600 Pro)
- Oppo Find X10 Pro Max (Dimensity 9600 Pro)
- Apple iPhone 18 Pro (A20 Pro)
- Poco F9 Ultra (Snapdragon 8 Elite Gen 5)
- Samsung Galaxy Z Flip8 (Exynos 2600)
- Google Pixel 11 Pro Fold (Tensor G6)
- Samsung Galaxy S26 Ultra (Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy)
- Apple iPhone 17 Pro (A19 Pro)
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Xiaomi 18 Pro Max | 4,120,470 |
| Vivo X500 Pro Max | 2,963,466 |
| Oppo Find X10 Pro Max | 3,846,228 |
| Apple iPhone 18 Pro | 3,517,879 |
| Poco F9 Ultra | 4,077,407 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 2,463,934 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1,212,510 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |

Geekbench 7
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Xiaomi 18 Pro Max | 3280 | 10301 |
| Vivo X500 Pro Max | 2010 | 6526 |
| Oppo Find X10 Pro Max | 2546 | 9175 |
| Apple iPhone 18 Pro | 3999 | 11338 |
| Poco F9 Ultra | 2037 | 7914 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 1923 | 5091 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1764 | 4688 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |

3DMark Wildlife Extreme
| Peranti | Skor |
| Xiaomi 18 Pro Max | 7920 |
| Vivo X500 Pro Max | 3184 |
| Oppo Find X10 Pro Max | 6943 |
| Apple iPhone 18 Pro | 7843 |
| Poco F9 Ultra | 7353 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 4099 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 3318 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |

Xiaomi 18 Pro Max ialah peranti mercu dengan prestasi yang mengagumkan. Hanya iPhone 18 Pro mempunyai prestasi yang sedikit lebih tinggi. Peranti berfungsi dengan lancar, pantas dan boleh menjalankan pelbagai aplikasi mercu pada tetapan yang tinggi. Permua kelas tinggi seperti COD Mobile, Genshin Impact dan Zenless Zone Zero boleh dimainkan pada tetapan tinggi. Tidak perlu risau mengenai kemampuan memproses kerana Xiaomi 18 Pro Max ialah peranti yang sangat berkuasa.
Kamera
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP f/1.7, ultra lebar 50MP f/2.4 dan telefoto 3.2X 200MP f/2.4 yang dipadankan dengan kamera hadapan 50MP f/2.2. Sensor yang digunakan jauh lebih besar berbanding pada Xiaomi 17 Ultra (50+50+200 MP) cuma tanpa sistem apertur boleh diubah.
Dari segi saiz, sensor yang digunakan adalah masih kompetitif dengan Oppo Find X10 Pro Max sahaja yang lebih besar (3x 200MP). Seperti biasa lensa Leica digunakan dengan pelbagai ciri perisian khusus yang dibangunkan bersama Leica.

Pintasan mod Leica Vibrant, Leica Authentic, dan Orignal diberikan setiap satunya dengan “resipi” warna berbeza. Saya paling sukakan profil Leica Vibrant yang meningkatkan keterangan warna dan paling serasi untuk kebanyakan situasi. Leica Authentic nampak lebih gelap dan moody seperti diambil menggunakan filem. Tetapi gambar yang dihasilkan akan mempunyai kesan terlalu diproses apabila mod Leica digunakan. Bagi yang gemarkan mod natural, sistem Original akan menghasilkan gambar yang lebih semula jadi.

Kamera turut mempunyai ciri Style yang mengubah hasil tangkapan menggunakan model kecerdasan buatan Xiaomi sendiri. Tiga pilihan diberikan iaitu B&W Film, Moden Vintage dan Iconic CCD. Ketiga-tiganya memberikan tona warna seakan filem dan kamera klasik.
Dalam semua situasi gambar yang boleh diambil sistem kamera ini adalah memuaskan. Pujian saya berikan kepada penghasilan semula warna dan mod malam yang masih nampak terang dibantu oleh sistem HDR dan OIS yang memastikan semua objek dapat dilihat dengan baik serta tajam. Kamera juga berfungsi dengan pantas apabila diperlukan.








Berikut pula ialah sampel gambar pada tetapan zum 0.6X, 1X, 10x 30X, 60X dan 120X. Kualiti zum masih memuaskan walaupun pada 10X. Sistem zum dengan sensor 200MP serta OIS adalah amat membantu.






Audio
Terdapat speaker stereo dengan audio yang seimbang kerana kedua-dua speaker menembak ke sisi. Sistem audio Dolby Atmos dan Xiaomi Sound boleh digunakan dengan terdapat tetapan EQ terbina untuk mengubah profil audio mengikut kehendak pengguna. Untuk menonton video saya rasakan memuaskan.
Bateri
Bateri 7050 mAh yang digunakan adalah daripada jenis SiC yang sebenarnya lebih kecil berbandingh 8000 mAh pada versi China. Jika pengecas dibuka jam 6 pagi, masih ada 20% bateri pada jam 11 malam. SOT konsisten melangkaui 9-10 jam pada penggunaan berat dan sehingga 15 jam pada penggunaan biasa tanpa permua atau mengambil gambar yang banyak.
Dengan pengecas 100W yang diberikan, bateri dicas semula dalam masa 70 minit yang “perlahan” . Ini adalah anomali kerana beberapa minggu lalu saya ulas Poco F9 Ultra dengan bateri 8050 mAh. Dengan pengecas 100W yang sama, F9 Ultra hanya mengambil masa 55 minit untuk dicas sepenuhnya.

Pesaing

| Xiaomi 18 Pro Max | Vivo X500 Pro Max | Apple iPhone 18 Pro Max |
| 6.9″ LTPO AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, 400 nit 2.9″ LTPO AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, 4000 nit | 6.85″ LTPO AMOLED, 144Hz Dolby Vision, 4400 nit | 6.9″ LTPO Super Retina XDR OLED, 120Hz Dolby Vision, 3000 nit |
| Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 (2 nm) 2x Prime 5.01 GHz 3xPerformance 4.03 GHz 3xPerformance 3.74 GHz | Dimensity 9600 Pro (2 nm) 2x C2-Ultra 4.55 GHz 3x C2-Pro 4.35 GHz 3x C2-Pro 3.1 GHz | Apple A20 Pro (2nm) 2x CPU Prestasi Tinggi ?GHz 4x CPU Kecekapan ?GHz |
| Adreno 850 | Mali-G2-Ultra-NX | GPU Apple 7 Teras |
| 12GB LPDDR5X | 12 GB LPDDR5X | 12 GB |
| 256/512 GB UFS 4.1 | 256/512 GB UFS 4.1 | 256/512/1000/2000 GB NVMe |
| Kamera Utama 200 MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 50 MP f/2.4 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.4, OIS (Telefoto 3.2X) Lensa Leica | Kamera Utama 50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200MP f/2.7, OIS (Telefoto 3.5X) Lensa Zeiss | Kamera Utama 48MP f/1.5-4.0, OIS (Sudut Lebar) 48MP f/2.2 (Ultra Lebar) 48MP f/2.8, OIS (Telefoto 4X) |
| Kamera Hadapan 50MP f/2.2 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.0 | Kamera Hadapan 18 MP f/1.9 3D Face ID |
| IP68 | IP69 | IP68 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada Bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 7050 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W | 7800 mAh mAh Berwayar 90W Nirwayar 40W Nirwayar Berbalik 4.5W | 5391 mAh – Nano SIM 5567 mAh – eSIMBerwayar 60W Nirwayar 25W Nirwayar Berbalik 4.5W |
| HyperOS 4, Android 17 Kemaskini 5+6 Tahun | OriginOS 7, Android 17 Kemas kini 5+7 tahun | iOS 27 Kemaskini 7+7 Tahun |
| Dilancarkan November 2026 | Dilancarkan Oktober 2026 | Dilancarkan September 2026 |
| RM 5,999 (12/256GB) RM 6,499 (12/512GB) | RM 6399 (16/256GB) RM 6999 (16/512GB) | RM 5,999 (12/256GB) RM 6,999 (12/512GB) RM 8,999 (12/1000GB) RM 11,999 (12/2000GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian. Walaupun gambar di bawah tidak mengandungi kepada pengecas, Xiaomi Malaysia memberikannya dalam unit yang dijual di pasaran tempatan.
- 1x Xiaomi 18 Pro Max
- 1x Kerangka lembut lutsinar
- 1x Pengecas 100W USB-A
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
- 1x Manual
- 1x Pin SIM

Kesimpulan
Dengan harga jualan bermula RM5999, harga Xiaomi 18 Pro Max kini sama dengan harga permulaan iPhone 18 Pro Max. Krisis RAM dan memori menyebabkan harga jualan Xiaomi kini tidak lagi mampu milik. Ramai mungkin mengatakan kalau begini lebih baik beli iPhone. Tetapi Xiaomi 18 Pro Max menawarkan beberapa ciri yang tiada pada iPhone.

Skrin utama dengan mod privasi menghalang kandungan dilihat orang lain, skrin sekunder dengan pelbagai kegunaan, kamera Leica yang mantap, dan bateri lebih tahan lama. Pada storan lebih besar, Xiaomi 18 Pro Max juga sedikit lebih murah.
Kekurangan masih ada iaitu sokongan perisian hanya 5+6 tahun sedangkan Honor, Apple, Samsung dan Google mula menawarkan 7+7 tahun.
Pro
- Rekaan tubuh yang kukuh dan selesa dalam tangan.
- Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 berkuasa untuk aplikasi biasa dan permua.
- Prestasi kamera yang amat bagus dengan lensa Leica.
- Skrin sekunder memberikan kelainan.
- Kalis air dan debu IP68
- Ketahanan bateri amat baik dan pengecas diberikan.
- Ada pemancar IR.
Kontra
- Menerima kemas kini 5 versi OS dan 6 tahun tampalan sekuriti sahaja.
- Skrin malap dalam mod privasi sehingga menjadi kurang praktikal.
- Harga jualan yang tinggi berbanding peranti Xiaomi sebelum ini.
- Pengecasan sedikit perlahan untuk 100W.
